Home » BERITA

BERITA

Parlimen Malaysia Bubar 7 April 2018

Parlimen Malaysia Bubar 7 April 2018 itulah pengumuman khas yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak. Pengumuman tersebut dibuat setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Parlimen Malaysia Bubar 7 April 2018
Parlimen Malaysia Bubar 7 April 2018

Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi ucapan selama 16 minit yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian mulai jam 12 tengah hari ini. Dalam ucapannya, Najib berkata beliau sudah menghadap Sultan Muhammad ke-V di Istana Negara bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.

Susulan itu, Perdana Menteri menasihati semua Ketua Menteri dan Menteri Besar kecuali Sarawak, menghadap Sultan, Raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Langkah itu bagi memberi laluan supaya pilihan raya negeri (PRN) dan PRU dapat diadakan serentak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sarawak terkecuali daripada mengadakan PRN kerana baru sahaja diadakan pada 7 Mei pada 2017. PRU-14 adalah yang kedua di bawah kepemimpinan Najib, yang akan memimpin jentera Barisan Nasional (BN) selepas mengambilalih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Susulan pembubaran Parlimen pada hari ini, SPR perlu menetapkan tarikh pilihan raya diadakan. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRU mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, daripada tarikh pembubaran Parlimen. Ketika ini, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi. (BH Online)

PM Umum 9 Berita Baik Buat Penjawat Awam

PM Umum 9 Berita Baik Buat Penjawat Awam dan pesara kerajaan untuk tahun 2018. Kerajaan hari ini mengumumkan sembilan khabar gembira kepada penjawat awam dan pesara kerajaan di seluruh negara.Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di hadapan lebih 10,000 penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

PM Umum 9 Berita Baik Buat Penjawat Awam
PM Umum 9 Berita Baik Buat Penjawat Awam

Pengumuman MAPPA
4 April 2018

1. Pemendekan tempoh time based kali kedua kpd 10 tahun utk kumpulan sokongan mulai 1 Jan 2018 – 13,006 pegawai.

2. Wujudkan Gred DG56 bagi pegawai lebih 5 tahun DG54 – 323 pegawai mulai 1 Jan 2019.

3. Pemanjangan kemudahan perubatan kepada ibu-bapa pegawai Contract of Service mulai 1 Julai 2018.

4. Sumbangan tahunan kepada CUEPACS – sekurang-kurangnya RM3 juta setahun.

5. Cuti tanpa rekod 7 Hari Umrah dipanjangkan kepada penganut agama lain untuk urusan agama mereka.

6. Bagi menjaga pesara Kerajaan, kerajaan bersetuju menaikkan 1% lagi kepada pesara mulai 1 Julai hingga 31 Dis 2018 sbg tambahan kepada kenaikan 2% yang diisytiharkan mulai 1 Jan 2018.

7. Geran khas kepada Persatuan Pesara – RM1 juta masing-masing.

8. Kuota Haji khas untuk pesara Kerajaan dibincang dengan Arab Saudi.

9. Kenaikan gaji 1 KGT Khas berkuatkuasa pada 1 Julai 2018 untuk 1.6 juta penjawat awam melibatkan RM1.46 bil.

Untuk laporan penuh tentang pengumuman ini ada boleh merujuk kepada berita yang dilaporkan oleh BH Online ini. Jom anda baca di SINI

Dakwaan Pesawat MH370 Ditemui Adalah Palsu

Dakwaan Pesawat MH370 Ditemui Adalah Palsu menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Laporan BH Online menegaskan bahawa dakwaan penemuan serpihan pesawat MH370 dipenuhi lubang, dipercayai kesan tembakan adalah kenyataan tidak berasas. Menyangkal dakwaan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata berkata kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam mengesahkan sebarang penemuan serpihan pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 berkenaan.

Dakwaan Pesawat MH370 Ditemui Adalah Palsu
Dakwaan Pesawat MH370 Ditemui Adalah Palsu

Sehubungan itu, katanya, penemuan serpihan pesawat MH370 kononnya berdasarkan penyelidikan menerusi aplikasi Google Earth serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) itu tidak mempunyai asas. “Kita sentiasa bekerjasama dengan ATSB, selain mempunyai tenaga pakar yang berpangkalan di Australia untuk mengenal pasti sebarang penemuan di kawasan pencarian.

“Setakat ini kita masih mengenal pasti kawasan pencarian sebenar adalah dekat Australia, bukan di sebelah perairan Mauritius,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini. Portal berita antarabangsa, Daily Star Online, melaporkan jurutera mekanikal, Peter McMahon yang dikatakan berpengalaman dalam penyiasatan insiden nahas penerbangan lebih 25 tahun mengemukakan teori penemuan berbeza berhubung MH370.

McMahon, 64, dilaporkan berkata, penelitian berdasarkan imej NASA dan Google Earth sejak pesawat yang membawa 239 penumpang itu dilaporkan hilang menunjukkan kawasan pencarian sebenar bukan berada dekat dengan perairan Australia. Sebaliknya, beliau mendakwa kawasan pencarian MH370 terletak kira-kira 16 kilometer selatan Round Island, iaitu berhampiran sebuah pulau kecil utara Mauritius.

Kawasan pencarian itu turut didakwa lokasi bangkai pesawat MH370 yang dipenuhi lubang kesan tembakan, namun sengaja disembunyikan pihak berkuasa kerana enggan menimbulkan penyiasatan daripada sudut berbeza. Menyanggah fakta itu, Tiong Lai berkata, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan analisis berdasarkan dokumen dan imej yang dikemukakan menerusi dakwaan McMahon.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu adalah tidak berasas, termasuk bangkai pesawat MH370 dipenuhi kesan lubang, dipercayai kesan tembakan. “CAAM sudah mengenal pasti artikel ini dan didapati ia adalah tidak berasas, justeru orang ramai usah percaya dengan berita palsu sedemikian. “Paling penting ialah ikuti laporan kita menerusi aplikasi dan laman web yang disediakan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung hasil pencarian MH370.

“Kita masih meneruskan usaha pencarian di selatan Lautan Hindi, merangkumi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi yang dikendalikan syarikat Ocean Infinity. “Kita harap bangkai pesawat MH370 berupaya ditemui di kawasan yang ditetapkan,” katanya. Penafian Tiong Lai berhubung dakwaan itu turut senada dengan ATSB yang mengesahkan imej Google Earth dan dokumen NASA itu adalah tidak berasas.

SUMBER

Lelaki Dituduh Liwat 21 Pelajar Tahfiz Di Kuantan

Lelaki Dituduh Liwat 21 Pelajar Tahfiz Di Kuantan itulah berita yang menggemparkan kita semua dengar bermula semalam. Apalah nasib anak-anak tahfiz kita ini apabila diperlakukan sebegini. Jom kita ikuti laporan penuh dari pihak BH Online berkaitan dengan berita ini.

Lelaki Dituduh Liwat 21 Pelajar Tahfiz Di Kuantan
Lelaki Dituduh Liwat 21 Pelajar Tahfiz Di Kuantan

Suspek yang didakwa melakukan penderaan seksual termasuk meliwat pelajar sebuah maahad tahfiz swasta di sini, sering membawa remaja yang tinggal di asrama pulang ke rumahnya tanpa pengetahuan pihak pengurusan. Pengetua dan pemilik maahad di Bukit Bay Route itu berkata, seorang tenaga pengajar di situ pernah melihat suspek cuba masuk ke dalam selimut salah seorang mangsa yang sedang tidur di asrama berkenaan bulan lalu.

“Selepas disoal siasat, barulah pelajar terbabit mengaku mengenai kegiatan tidak bermoral lelaki berkenaan yang kami sudah anggap macam keluarga sendiri. “Paling menyedihkan kami, apabila mendapat tahu 21 pelajar lelaki yang berumur antara 10 hingga 17 tahun menjadi mangsa gangguan seksual dan ada yang diliwat, malah seorang daripada mereka juga memaklumkan dipaksa melakukan perkara terkutuk berkenaan kira-kira 10 kali,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pemilik maahad berusia 38 tahun itu tidak menyangka lelaki yang juga seorang sukarelawan di maahad itu, sudah melakukan perbuatan terkutuk itu sejak Ogos tahun lalu. “Kami memang tidak menyangka perkara ini kerana dia aktif dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian serta dipercayai pegawai khas kepada salah seorang kerabat di negeri ini.

“Maahad ini sudah jadi seperti rumah kedua baginya sejak 2015 lagi. Saya tidak sangka kepercayaan yang diberikan kepadanya dibalas dengan tindakan yang tidak bermoral ini. “Pelajar-pelajar di sini dan ibu bapa sangat akrab dengan beliau malah dia kerap ke pusat tahfiz ini, kadang-kadang setiap hari. Dia juga banyak berubah termasuk sudah belajar solat serta mengaji,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada keluarga mangsa malam tadi dan sudah membuat sesi penerangan kepada mereka hari ini. “Ibu bapa memang terkejut selepas mengetahui mengenai perkara ini. Ramai yang tidak sangka suspek sanggup melakukan perkara sedemikian kepada anak-anak mereka,” katanya.

“Kami amat kecewa kerana dia sanggup buat anak-anak saya macam ini setelah diberikan kepercayaan kepadanya, dia sanggup rosakkan masa depan anak-anak saya,” katanya.Suspek berusia 41 tahun ditahan polis selepas pihak pengurusan maahad tahfiz itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada Isnin lalu dan kini direman sehingga 19 Mac ini. Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Haram Berkongsi Video Panama Dance

Haram Berkongsi Video Panama Dance yang melibatkan umat Islam lelaki dan perempuan. Itulah yang dilaporkan oleh pihak Utusan Online semalam. Oleh hal yang demikian, jom sama ikuti laporan penuh yang telah dibuat oleh Utusan Online tersebut. Beberapa Mufti juga memberikan pandangan mereka terhadap isu perkongsian Panama Dance ini.

Haram Berkongsi Video Panama Dance
Haram Berkongsi Video Panama Dance

Tarian Panama atau Panama Dance menjadi ‘kegilaan’ masyarakat hari ini haram dilakukan kerana membabitkan percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram, kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.Selain itu tindakan berkongsi persembahan itu menerusi video di media sosial juga haram kerana menunjukkan susuk tubuh wanita yang sepatutnya hanya boleh dilihat oleh mahram mereka.

“Mungkin ada sesetengah itu hendak menggunakannya sebagai rujukan melakukan senam robik di dalam bilik mereka, bagaimanapun masih tidak menghalalkan kita untuk menyebarkan secara terbuka wanita menutup aurat berjoget sebegitu. “Mereka yang hendak buat tarian itu janganlah dirakam, dimuat naik dan jangan dikongsi ke media sosial. Jangan biarkan bukan mahram melihat susuk tubuh anda berlenggang-lenggok sedemikian rupa.

“Jaga maruah dan jaga aib anda sebagai seorang muslimah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online bagi mengulas isu Tarian Panama yang tular di laman sosial ketika ini. Tarian Panama tersebut bukan sahaja dilakukan individu malah telah ‘berjangkit’ kepada agensi dan jabatan kerajaan serta syarikat swasta yang seolah-olah berlumba-lumba menunjukkan ‘kehebatan’ Tarian Panama masing-masing.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menasihati orang ramai tidak mengajak dan terikut-ikut dengan trend tarian itu. Katanya, orang ramai jangan bersikap terlalu liberal dalam sesuatu perkara dan hendaklah sentiasa mengikut sunnah Rasulullah SAW. “Kita lihat mereka yang muat naik video itu, kapsyen mereka pastinya seperti mengajak mereka membuat tarian sama iaitu bercampur lelaki dan perempuan.

“Kalau kita buat benda haram, jangan mengajak orang lain buat benda yang sama. Biarlah buat trend yang sama-sama dapat pahala, Islam itu mudah tetapi jangan bermudah-mudahkan,” katanya. Jadi sama-samalah kita saling ingat mengingati.

UTUSAN ONLINE