Home » BERITA » Kedai Rakyat 1 Malaysia KR1M Ditutup

Kedai Rakyat 1 Malaysia KR1M Ditutup

Kedai Rakyat 1 Malaysia KR1M Ditutup oleh kerajaan Malaysia atas sebab-sebab tertentu. Menurut laporan akhbar Berita Harian Online penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sejak minggu lalu dibuat sebagai persediaan kepada pelaksanaan KR1M 2.0, di samping bagi tujuan penambahbaikan kepada kelemahan sebelum ini.

Kedai Rakyat 1 Malaysia KR1M Akhirnya Ditutup
Kedai Rakyat 1 Malaysia KR1M Akhirnya Ditutup

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penambahbaikan yang sedang dilakukan dibuat membabitkan kerjasama pelbagai agensi.Katanya, KR1M 2.0 juga bakal membuka peluang perniagaan kepada pengeluar dan pengilang tempatan.

“Penutupan sementara Kedai KR1M adalah sebahagian daripada penambahbaikan seperti mana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai lalu. “Ia sebahagian daripada rancangan kementerian untuk menambahbaik kelemahan sebelum ini, melalui inisiatif yang dinamakan sebagai KR1M 2.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Hamzah mengulas mengenai notis pemberitahuan penutupan sementara KR1M yang dipamerkan di semua premis perniagaan berkenaan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, butiran terperinci mengenai penambahbaikan KR1M akan diumumkan dalam masa terdekat iaitu pada hari pelancaran KR1M 2.0. “Ia sebahagian daripada komitmen kami untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam,” katanya.

Hamzah sebelum ini memaklumkan KR1M 2.0 akan dilancarkan bagi membolehkan rakyat mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran. Pengenalan KR1M 2.0 juga bakal memasarkan produk keluaran daripada koperasi dan usahawan tempatan, berbeza dengan sebelum ini yang diuruskan sebuah syarikat pengendali.

Lagi laporan dari BH juga menyebut  Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diwujudkan di seluruh negara secara berperingkat bermula tahun 2011, mula ditutup sejak Isnin lalu. Difahamkan, penutupan itu ada kaitan dengan pengumuman kerajaan untuk menamatkan kontrak pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) kerana menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Julai lalu, selepas kerajaan menerima banyak aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan harga dan barangan dijual di kedai berkenaan. Berikutan arahan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata Program KR1M 2.0 akan dilancarkan tahun ini bagi membolehkan rakyat mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran.

KR1M yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Ia bertujuan menjual pelbagai barangan harian pada harga 30 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Tinjauan BH di ibu negara dan hampir semua negeri mendapati KR1M sudah ditutup dengan notis ditampal di hadapan kedai itu berbunyi “KR1M akan ditutup sementara, segala kesulitan amat dikesali’. Difahamkan, arahan penutupan sementara itu dikeluarkan sejak Isnin lalu di semua premis KR1M di seluruh negara. Pekerja KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, berkata penutupan sementara itu dibuat bagi membolehkan proses pengiraan stok dilakukan.

“Pihak kami menutup sementara premis ini sebab mahu kira stok yang ada, sama ada yang sudah tarikh luput atau belum. Kami terima arahan penutupan ini Isnin lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini. Beliau juga tidak pasti bila premis itu akan dibuka semula. Selain di Kelana Jaya, turut ditutup KR1M di Petaling Jaya, Bandar Tun Razak dan Desa Mentari.

 

Di Kota Kinabalu, 21 KR1M ditutup, manakala beberapa lagi dijangka mengambil tindakan sama secara berperingkat. Premis ditutup termasuk di Papar, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu. Di Kelantan, tujuh KR1M iaitu Tok Bali (Pasir Puteh), Pengkalan Chepa, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok dan Bukit Bunga ditutup. Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun, berkata sejak beberapa hari lalu anggotanya membuat tinjauan di semua premis terbabit.

“Semua kedai itu kini dalam proses mengemas dan menghantar semula barangan kepada pembekal asal,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini. Di Negeri Sembilan, tiga KR1M iaitu di Bandar Springhill, Port Dickson; Taman Megah, Bahau dan Bandar Senawang dikatakan ditutup sejak seminggu lalu. Di Perak, tinjauan mendapati sebuah KR1M di Manjoi, Ipoh, ditutup.

Sumber di KPDNKK Perak ketika dihubungi berkata: “Pihak kami sedang memantau prestasi operasi semua 15 KR1M di Perak.” Di Terengganu, empat KR1M iaitu di Kuala Terengganu; Dungun; Kemaman dan Kuala Berang ditutup sejak seminggu lalu. Pengarah KPDNKK negeri, Azlan Abdul Samat, berkata semua empat KR1M yang beroperasi di negeri ini ditutup untuk pengiraan stok.

Di Miri, KPDNKK mengesahkan satu daripada KR1M di daerah itu ditutup kerana faktor ekonomi. Ketua Cawangan KPDNKK Miri, Joe Azmi Jamil, berkata KR1M di Tudan ditutup kerana pengusahanya mengalami kerugian, namun KR1M di Pujut masih beroperasi. Julai lalu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa syarikat itu mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M.

Bagaimanapun, beliau berkata, projek itu akan diteruskan demi manfaat rakyat.

FAKTA NOMBOR:

250 – barangan runcit dijual di KR1M

185 – KR1M di seluruh negara

Check Also

Pembahagi Biru Bahayakan Penunggang Motosikal

Pembahagi Biru Bahayakan Penunggang Motosikal

Pembahagi Biru Bahayakan Penunggang Motosikal di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Admin telah membaca satu kes …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *