Lions XII Tidak Beraksi Liga M 2016

FAM telah memutuskan dalam mesyuarat baru-baru ini bahawa pasukan Singapura Lions XII Tidak Beraksi Liga M 2016. Jadi admin kongsikan kepada anda semua laporan berkaitan isu ini daripada BH Online. Lions XII dari Singapura tidak akan beraksi dalam Liga Malaysia untuk musim depan, demikian diumumkan Persatuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Dalam satu kenyataannya, FAM berkata, badan induk bola sepak Malaysia yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kelab dari Singapura itu yang tamat akhir tahun ini.

Lions XII Tidak Beraksi Liga M 2016
Lions XII Tidak Beraksi Liga M 2016

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, keputusan berkenaan diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM setelah mengambil kira beberapa faktor seperti kos terlibat bagi pasukan tempatan untuk berkunjung ke negara Seberang Tambak itu. “Setelah membuat pertimbangan secara mendalam, MoU kita dengan Singapura (iaitu FAS) tidak kita lanjutkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan oleh Presiden badan induk itu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, malam tadi. Afandi berkata, tempat Lions XII dalam saingan Liga Super 2016 bakal digantikan pemenang perlawanan kalah mati di antara pasukan tangga ke-11 Liga Super 2015, Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan tangga ketiga Liga Perdana iaitu T-Team yang bakal ditetapkan dalam tempoh terdekat.

Beliau menjelaskan pasukan Kuala Lumpur yang tersingkir ke saingan Liga FAM 2016 selepas menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan Liga Perdana musim ini akan kekal beraksi musim depan bagi melengkapkan kuota 12 pasukan bertanding. Untuk rekod, FAM dan FAS menandatangani MoU pada 2011 di Wisma FAM, Kelana Jaya yang antara lain menyaksikan pasukan Harimau Muda dihantar bertanding dalam saingan Liga Singapura manakala pasukan Lions XII menyertai Liga-M. Sejak menyertai Liga-M secara rasmi pada 2012, Lions XII muncul juara Liga Super pada 2013 selain muncul juara Piala FA, musim ini. Pada masa yang sama, Afandi turut memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju mengenai cadangan Pasukan Petugas Khas berhubung pembubaran pasukan Harimau Muda yang diwujudkan sejak 2007, selain menambah bahawa kesemua pemain pasukan berkenaan akan kembali ke negeri kelahiran masing-masing, musim depan. Dalam pada itu, beliau berkata FAM akan mengadakan satu bengkel khas dalam tempoh terdekat yang turut melibatkan pasukan bertanding bagi membincangkan sama ada sepak mula Liga-M 2016 diadakan pada Januari atau Februari tahun depan.

Sementara itu, Afandi memaklumkan Selangor yang menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini diberikan gelaran naib juara selepas FAM bertindak memotong enam mata yang diraih oleh Pahang. Ia susulan kegagalan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) untuk melunaskan bayaran pampasan kepada bekas pemain import mereka dari Maghribi iaitu Mohamed Borji yang pernah beraksi bersama skuad Tok Gajah pada 2013. Beliau berkata, FAM telah mendapat surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini yang mengarahkan FAM supaya memotong enam mata daripada Pahang dalam liga domestik iaitu Liga Super selepas gagal melunaskan pampasan kepada pemain berkenaan yang ditamatkan kontrak lebih awal pada tahun yang sama. Pahang sebelum ini menduduki tangga kedua Liga Super 2015 menerusi kutipan 44 mata manakala Selangor di tangga ketiga dengan pungutan 39 mata. “Ekoran daripada itu, kedudukan Pahang untuk mewakili Malaysia dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan tidak lagi boleh berlaku dan kita akan mencalonkan pasukan Selangor kepada AFC sebagai satu daripada wakil negara ke kejohanan berkenaan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *