Home » SUKAN » Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup

Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup

Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup. FAM dan FMLLP secara kolektifnya bertanggungjawab untuk sistem pelesenan kelab di Malaysia. FAM sahaja adalah pihak yang memberikan lesen kelab (AFC dan kebangsaan) dan pengendali liga (FMLLP) pula bertindak sebagai pihak pentadbir pelesenan kelab.

Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup
Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup

Peraturan-peraturan telah dibincangkan secara bersama dan dibuat bagi memastikan sistem pelesenan kelab ini menjadi platform untuk pembangunan bola sepak secara profesional di Malaysia.

Sebagai pemberi lesen, badan induk bola sepak kebangsaan dan ahli gabungan AFC, FAM bertanggungjawab dalam mencalonkan pasukan-pasukan untuk mewakili Malaysia pada Pertandingan Kelab AFC. Pencalonan ini memerlukan kelab itu memiliki Lesen AFC.

Penganugerahan lesen tersebut adalah berdasarkan Peraturan Pelesenan Kelab FAM yang dibangunkan bersama dengan FMLLP, selari dengan garis panduan AFC dan peraturan ini telah dihantar kepada AFC untuk mendapat pengesahan sebelum ia dilaksanakan di peringkat tempatan.

Berhubung isu Kedah, sudah jelas dan nyata yang hanya kelab-kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan mengikut tarikh akhir yang telah ditentukan oleh FAM akan diberikan lesen (AFC dan kebangsaan). Oleh itu, hanya dokumen-dokumen yang dimuat naik dalam Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) sebelum tarikh ditetapkan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM akan diteliti bagi memastikan lesen diberikan adalah benar-benar tepat.

Sehingga tarikh berkenaan, Kedah tidak menghantar penyata kewangan beraudit mereka yang merupakan kriteria wajib. AFC juga jelas menyatakan bahawa tiada dokumen luar dari sistem CLAS yang boleh dipertimbangkan. Ini bermakna, dengan tarikh akhir ditetapkan sistem CLAS dan tarikh FIB bersidang sudah dilewati, tiada pasukan dibenarkan untuk memuat naik apa juga dokumen tambahan.

Badan Rayuan (AP) Pelesenan Kelab FAM memilih untuk menerima penyerahan lewat penyata kewangan diaudit oleh Kedah bagi memberi mereka ruang untuk dipertimbangkan bagi mendapatkan lesen kelab di peringkat kebangsaan. Perkara ini dibenarkan kerana dalam peraturan tersebut terdapat pengecualian boleh dibuat dalam pemberian lesen kebangsaan.

Bagaimanapun, jika Lesen AFC turut diberikan dalam situasi ini, ia jelas satu tindakan yang tidak betul kerana mengikut rekod dalam sistem CLAS, tiada penyata kewangan diaudit yang telah dihantar oleh Kedah.

Jadi adalah satu keputusan yang betul untuk tidak memberikan Lesen AFC kepada Kedah dan mencalonkan pasukan lain yang telah pun memiliki Lesen AFC untuk mengisi slot ke Piala AFC. Andai Kedah diberikan Lesen AFC dan dicalonkan untuk ke Piala AFC, kemungkinan audit daripada pihak AFC bakal mendapati yang lesen telah diberi secara salah dan FAM akan dikenakan hukuman.

FAM dan FMLLP sama-sama berharap tiada sebarang teori konspirasi atau khabar angin mengatakan yang Kedah tidak diberi layanan yang adil. Kami sendiri cukup berharap yang Kedah akan dapat mengambil bahagian dan berjaya.Punca Kedah Tidak Boleh Beraksi di AFC Cup

Memang FAM dan FMLLP mahukan pasukan yang terkuat untuk mewakili Malaysia pada Pertandingan Kelab AFC bagi memastikan kita dapat mengumpul mata ranking yang baik bagi penyertaan pada masa akan datang.

Namun Kedah telah pun diberikan banyak peluang untuk memenuhi keperluan peraturan sebelum tarikh ditetapkan FIB itu dan meskipun mereka gagal mendapatkan Lesen AFC, mereka telah berjaya juga mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi pada Liga Super 2018.

Untuk pengetahuan juga, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah diberi surat oleh FAM bertarikh pada 1 November 2017 berhubung keputusan dibuat oleh Badan Rayuan iaitu mereka hanya diberi kelulusan untuk Lesen Kelab FAM manakala masih gagal untuk Lesen Kelab AFC yang membawa maksud Kedah tidak layak untuk beraksi pada pertandingan Piala AFC 2018, sekali gus menafikan dakwaan di media yang mereka langsung tidak diberitahu mengenai hal ini.

 

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN

SETIAUSAHA AGUNG FAM

AHAD, 19 NOVEMBER 2017

Check Also

Lim Teong Kim Dipecat

Lim Teong Kim Dipecat

Jurulatih skuad muda bawah 16 tahun negara Lim Teong Kim Dipecat oleh FAM. Perkara ini …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *