Aksi Kelayakan Piala Dunia Harimau Malaya Tangguh. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah menerima surat rasmi daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenai pengesahan penangguhan kesemua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bulan Mac dan Jun 2020.
Menurut AFC, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan ahli-ahli gabungannya yang terlibat dan seterusnya dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk akhirnya satu persetujuan dicapai bagi menangguhkan perlawanan-perlawanan pada tarikh berkenaan.
Tarikh baharu perlawanan tidak dinyatakan dengan FIFA dan AFC akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung status perlawanan-perlawanan yang ditangguhkan itu sebelum memaklumkan kepada ahli-ahli gabungan yang terlibat.
Bagi skuad kebangsaan, Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe, penangguhan itu akan membabitkan tiga perlawanan Kumpulan G bertemu UAE yang sepatutnya berlangsung di Dubai pada 26 Mac ini serta aksi bertemu Vietnam di Bukit Jalil (31 Mac) dan bertemu Thailand di Bangkok (9 Jun).
Justeru, FAM masih sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan pasukan bagi mengadakan Perlawanan Antarabangsa pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini (Mac 2020) dan pihak AFC telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada Jumaat ini, 13 Mac 2020.
Bagaimanapun, isu COVID-19 yang sedang dialami di seluruh dunia ketika ini agak merumitkan kita untuk mengadakan Perlawanan Antarabangsa kerana ia membabitkan perjalanan dari satu negara ke negara yang lain.
Sebarang maklumat terkini mengenai Perlawanan Antarabangsa bagi skuad Harimau Malaya itu akan dimaklumkan oleh FAM dalam masa terdekat ini.
Stuart Ramalingam
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
<< Safawi Rasid kaki perempuan?? >>