Punca Sebenar Gambar ADUN Jeram Di Beg sekolah berwarna merah. Adun Jeram Mohd Shaid Rosli menjelaskan berlaku salah faham antara pihaknya dengan pencetak, susulan kritikan di media sosial berhubung penyampaian sumbangan beg sekolah yang memaparkan wajahnya yang dianggap mencontohi pendekatan Barisan Nasional (BN).
Shaid berkata, beliau tidak berniat untuk memaparkan wajahnya secara jelas pada beg sekolah itu, namun tidak dapat melakukan apa-apa perubahan memandangkan hanya mengetahui hasil barangan yang ditempah setelah ia dicetak.
“Sebenarnya beg ini saya tempah di negara China, tempahan ini sudah lama, saya sudah tempah sejak 4 bulan lalu. Lain yang kita harapkan, lain pula beg sekolah yang sampai. Jadi, apabila benda sudah sampai maka kita beri jugaklah,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Terdahulu, Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib di Twitter mengkritik tindakan Shaid yang juga bendahari PPBM Selangor.
“Jelaskan bagaimana tindakan ini boleh diterima, adakah ini sesi berkempen? Hentikan perkara ini.
“Sekiranya anda mahu berikan pelajar ini beg sekolah, berikan sahaja. Janganlah pula meletakkan muka dan nama anda,” tulisnya.
Tambah Shaid, walaupun terdapat sedikit kesilapan pada produk yang ditempah, namun beliau tidak akan meminta maaf kepada mana-mana pihak memandangkan ia bukan satu kesalahan jenayah.
“Ini bukannya satu kesalahan jenayah untuk saya minta maaf. Saya tidak nampak ia sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang.
“Bagi saya benda ini kita buat bukan untuk popular atau ikut budaya kerajaan lama tetapi apabila sudah jadi seperti ini, seolah-olah saya ikut budaya lama,” katanya.
Shaid menjelaskan, sebanyak 1,000 beg sekolah dicetak di negara China dan diedarkan kepada pelajar di 5 buah sekolah sekitar kawasannya. -SUMBER-