Sekolah Di Putrajaya Ditutup 17 September 2019 akibat jerebu. Akibat daripada masalah jerebu yang melanda negara kita dan beberapa kawasan mencatatkan IPU tidak sihat kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga. Langkah tersebut adalah dengan menutup sekolah di daerah yang terlibat.
Semua 25 sekolah di Putrajaya akan ditutup esok susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 setakat jam 5 petang tadi.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Farizah Ahmad, berkata berdasarkan bacaan IPU yang sudah melebihi 200 mulai jam 5 petang hari ini, semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok.
Terdahulu, Timbalan Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr Roslan Hussin berkata ada 11 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan 14 Sekolah Kebangsaan (SK) di Putrajaya yang akan ditutup jika IPU mencecah paras lebih 200.
Setakat jam 7 malam tadi, empat stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat.
Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di stesen Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan 229 dan Putrajaya (205) dan dua lagi di Sarawak, masing-masing di Kuching (226) dan Sri Aman (207). -BH Online-
Untuk maklumat lanjut berkaitan penutupan sesi persekolahan anda boleh terus menyemak pengumuman dari semasa ke semasa di laman facebook Kementerian Pendidikan.