Admin baru mendapat perkhabaran dari sahabat di negeri Kedah bahawa baru sahaja sebentar tadi Sultan Kedah mangkat. Kemangkatan KDYMM Tuanku Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah jam 2:30 petang tadi di Istana Anak Bukit. Berikut seperti yang dimaklumkan di media sosial Aduan Rakyat Kedah.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.. Al Fatihah…Sembah Takziah Kemangkatan KDYMM Tuanku Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah jam 2:30 petang tadi di Istana Anak Bukit.
Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah (diputerakan 28 November 1927) merupakan Sultan Kedah ke-27 (1958 – kini) serta Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-5 (21 September 1970 – 20 September 1975) dan ke-14 (13 Disember 2011 – 13 Disember 2016).
Baginda diputerakan di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah sebagai Tunku Abdul Halim. Baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah bersama Tunku Safiah binti Tunku Mahmud, namun putera tertua yang hidup. Baginda kemudian menjadi Raja Muda Kedah pada 1949. Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, di mana baginda mendapat diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam. Baginda mewarisi takhta Kedah ayahandanya pada Julai 1958 dan ditabalkan pada Februari 1959.
Selain itu, baginda ialah anak saudara kepada Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama). Tuanku Abdul Halim terpilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong antara 20 September 1965 dan 21 September 1970. Apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, ketika berumur 43 tahun, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda yang pernah dilantik iaitu selepas Tuanku Syed Putra, Raja Perlis yang dilantik ketika berumur 40 tahun.
Sultan Abdul Halim, ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-5 (1970 – 1975)
Baginda menyaksikan pertukaran kali pertama ketua kerajaan Malaysia iaitu apabila ayahanda saudara baginda, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberikan jawatannya kepada timbalannya Tun Abdul Razak. Tunku Abdul Rahman merasakan beliau tidak patut berkhidmat di bawah anak saudaranya. Pada November 2006, Tuanku Abdul Halim dipilih buat kali kedua sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, bermula Disember 2006 hingga Disember 2011. Beliau merupakan sultan Pertama memegang jawatan ini dua kali.
Pada 15 Julai 2008 baginda menyambut Jubli Emas, iaitu ulang tahun pemerintahan baginda ke-50 di Kedah. Pada 12 dan 13 Oktober 2011, Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-225 telah memutuskan bahawa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah bakal menggantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 mulai 13 Disember 2011.
Bermula pada 13 Disember 2011 yang lalu, baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, sekaligus menjadi sultan pertama menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali[7] dan yang tertua ditabalkan (84 tahun).[8] Yang di-Pertuan Agong tertua sebelum baginda ialah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dari Selangor, yang ditabalkan di usia 73 tahun. Istiadat pertabalan buat kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong telahpun dilangsungkan di Istana Negara pada 11 April 2012
Berita dari Utusan Online di SINI