Tengku Puan Pahang Tengku Ampuan Pahang Ke 5. Pemasyhuran Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang dijangka diadakan hujung bulan ini akan meletakkan baginda sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dalam kesultanan Pahang era moden.
Gelaran Tengku Ampuan Pahang khas untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Sebelum baginda, Tengku Ampuan Pahang yang pertama ialah Tengku Ampuan Fatimah Tun
Muhammad yang merupakan permaisuri Sultan Pahang I, Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah diikuti Tengku Ampuan Besar Meriam binti Sultan Abu Bakar Johor (permaisuri Sultan Pahang II, Sultan Mahmud).
Tengku Ampuan Pahang seterusnya ialah Tengku Ampuan Besar Fatimah Sultan Alang Iskandar Shah (permaisuri Sultan Pahang IV,
Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah) dan Tengku Ampuan Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad (permaisuri Sultan Pahang V, Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah).
Permaisuri Sultan Pahang III, Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah tidak dimasyhurkan sebagai Tengku Ampuan Pahang kerana bukan berdarah raja.
Gelaran Sultanah Kalsom (permasuri Sultan Ahmad Shah) dicipta hanya untuk baginda dan tiada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Dalam pada itu, satu sumber yang dekat dengan istana Pahang memberitahu, persalinan istiadat pemasyhuran Tunku Azizah akan mengetengahkan Tenun Pahang Diraja.
“Persalinan ini dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Penjara,” katanya di sini hari ini.
Tunku Azizah merupakan individu yang menyokong dan memartabatkan Tenun Pahang Diraja yang mana Galeri Tenun Bandar serta Pusat Sumber Tenun Pahang Diraja Jabatan Penjara ditubuhkan di bandar ini termasuk melatih penghuni tirai besi dengan kemahiran menenun.
Istiadat pemasyhuran Tengku Ampuan Pahang itu dijangka serentak dengan pemasyhuran Tengku Mahkota Pahang yang baharu bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang diangkat sebagai Sultan Pahang Keenam.
Pelantikan Pemangku Raja Pahang jika Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 juga dijangka diadakan pada hari sama. -Utusan Online –