Vest Kalis Peluru Sepatutnya Tidak Bocor. Memang kelaziman pasukan komando Rejimen 11 Gerak Khas (GGK) menggunakan peluru hidup ketika latihan atau demonstrasi,” kata Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.
Katanya, ia bertujuan untuk menyediakan anggota pasukan dengan situasi sebenar berperang selain membina kecekalan, keyakinan dan keberanian mereka sebelum memasuki medan peperangan sebenar.
Katanya, tiada situasi yang dibuat-buat apabila komando berlatih tetapi mereka sudah terlatih dan pakar untuk memastikan keselamatan setiap anggota dijaga.
“Akan buat betul-betul, memang nak bunyi tetapi setiap tembakan yang dilepaskan akan dipastikan selamat dan menuju kepada baju kalis peluru yang dipakai, bukan tembak di kepala,” katanya hari ini.
Beliau mengulas insiden tertembak membabitkan pegawai GGK, Mejar Mohd Zahir Armaya sebelum disahkan meninggal dunia ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pagi tadi.
Mangsa adalah anak pelakon popular, A R Badul. Demonstrasi yang dipersembahkan beliau bermula 8.30 pagi dan kumpulan demonstrasi itu adalah persembahan ketiga yang dilakukan.
Dalam pada itu, Mohamed Arshad mahu siasatan dilakukan dengan terperinci kerana hairan bagaimana peluru itu boleh menembusi baju kalis peluru yang dipakai mangsa.
“Siasatan mesti dijalankan, macam mana ‘vest’ kalis perlu boleh tembus dan bocor.
“Semua mesti disiasat termasuk semua baju kalis peluru yang ada dalam tentera.
“Saya rasa sesuatu tak kena sebab tembak di badan sepatutnya tak bocor,” katanya. -Merto Online-