Ini ekoran gambar Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang dilihat berjalan di sekitar kawasan di mana mendiang Karpal meninggal, sambil memegang suatu objek serupa sebuah mangkuk, disebarkan dengan meluasnya di laman sosial media.
Walaupun belum dipastikan tujuan beliau berada di kawasan itu, laman web Suara TV melaporkan bahawa Ibrahim mendakwa kematian mendiang Karpal berpunca dari gangguan puaka Gua Tempurung dan beliau telah pergi ke lokasi itu, untuk melakukan ‘ritual menghalau puaka’.
Laporan itu turut berkata bahawa laluan Gua Tempurung itu memang terkenal dengan gangguan makhluk halus yang sering mengganggu para pemandu kenderaan terutamanya pada sebelah malam.
“Semoga usaha yang saya lakukan itu akan dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering terjadi,” beliau dilaporkan berkata sejurus melakukan ritual ‘menghalau puaka’ di tempat itu.
Sementara itu, pengguna Twitter kebanyakkannya menyindir perbuatan Raja Bomoh itu.
Ada yang berkata perbuatannya memalukan masyarakat Melayu di negara ini dan ada yang meminta pihak berkuasa untuk menahan beliau.
Tindakannya yang mendapat liputan antarabangsa telah disindir oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.