Selamat menyambut Ramadan dan berpuasa kepada semua umat Islam seluruh Malaysia. Esok 27 Mei 2017 bermula lah 1 Ramadan bagi semua umat Islam di Malaysia. Maka bermula puasa Ramadan kita pada kali ini. Jadi sudah pasti anda semua tidak sabar untuk melalui hari pertama puasa seterusnya menghabiskan puasa selama sebulan. Jadi admin ingin berkongsi kepada anda semua Jadual Waktu Berbuka Dan Imsak 2017 di Malaysia. Jadual waktu ini merangkumi jadual bagi setiap negeri di Malaysia.
Anda hanya perlu klik pautan yang disenaraikan mengikut negeri.
- Perlis
- Johor
- Kedah
- Kelantan
- Melaka
- Negeri Sembilan
- Pahang
- Perak
- Pulau Pinang
- Sabah
- Sarawak
- Selangor
- Terengganu
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan
Dikesempatan ini admin ingin kongsikan sedikit tentang Jenis-Jenis puasa sebagai ilmu tambahan kepada kita semua.
JENIS-JENIS PUASA
1) PUASA WAJIB
Iaitu puasa Ramadhan, puasa kafarah dan puasa nazar. Puasa Ramadhan diwajibkan kerana ketibaan bulan Ramadhan, puasa kafarah diwajibkan kerana melanggar perkara-perkara tertentu yang dilarang seperti menziharkan isteri dan bersetubuh pada waktu siang pada bulan Ramadhan dan puasa nazar diwajibkan kerana seseorang itu mewajibkannya ke atas dirinya apabila mendapat sesuatu atau terlepas daripada sesuatu perkara.
2) PUASA HARAM
Iaitu puasa yang tidak mendapat pahala serta berdosa jika dilakukan. Antara puasa-puasa yang diharamkan ialah puasa pada hari syak iaitu hari 30 bulan Syabaan apabila orang ramai ragu-ragu adakah hari itu telah masuk bulan Ramadhan atau belum lagi. Selain itu, puasa pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dan 3 hari Tasyhrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Puasa perempuan yang sedang haid dan nifas tetapi hendaklah (wajib) diqada sekiranya puasa yang ditinggalkan itu puasa Ramadhan dan puasa orang yang dibimbangi kematian atau menimbulkan mudarat yang besar ke atasnya.
3) PUASA SUNAT
Puasa sunat ialah puasa yang sangat digalakkan dan mendapat pahala yang banyak jika dilakukannya. Antaranya ialah puasa berselang hari iaitu berpuasa pada hari pertama dan tidak berpuasa pada hari kedua dan berpuasa lagi pada hari ketiga dan tidak berpuasa pada hari keempat dan begitulah seterusnya. Selain itu, puasa 3 hari pada setiap bulan dan terlebih afdal secara berturut-turut pada hari ke 13, 14 dan 15, Puasa hari Isnin dan Khamis pada setiap minggu, puasa 6 hari pada bulan Syawal, puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan pada bulan Zulhijjah, puasa Asyura dan Tasu’aa dan puasa pada bulan Syaaban.
4) PUASA MAKRUH
Puasa-puasa berikut adalah makruh hukumnya dan tidak mendapat pahala. Antaranya ialah puasa pada hari Jumaat sahaja kecuali terlebih dahulu berpuasa pada hari Khamis sebelum berpuasa pada hari Jumaat dan disambung dengan puasa hari Sabtu. Puasa orang sakit, orang musafir, wanita hamil, ibu yang menyusukan anaknya dan orang tua yang terlalu tua sekiranya dengan berpuasa itu menimbulkan kesukaran dan kepayahan kepada mereka.
PUASA ORANG KAFIR
Orang kafir tidak diwajibkan berpuasa disebabkan kakufurannya yang berlawanan dengan Islam yang menjadi syarat wajib puasa. Sekiranya ia berpuasa maka puasanya tidak sah dan di akhirat nanti ia akan diazab oleh Allah disebabkan keengganannya memeluk Islam untuk membolehkannya berpuasa semasa di dunia.
PUASA KANAK-KANAK
Kanak-kanak beragama Islam yang masih kecil dan belum baligh tidak diwajibkan berpuasa tetapi sekiranya ia berpuasa maka sah puasanya dan mendapat pahala.
Puasa orang gila
Orang gila dikecualikan daripada perintah puasa kerana tidak memenuhi syarat wajib puasa.