Minggu ini memang panas dengan isu kenaikan harga terutama harga minyak masak. Tetapi selain isu harga minyak isu yang menjadikan panik kepada rakyat Malaysia adalah berita tentang Kadar Baru Bayaran Hospital Kerajaan 2016 yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar media arus perdana tempatan. Oleh hal yang demikian, seorang Pegawai Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan dan infografik untuk menjawab isu ini supaya dapat difahami oleh rakyat.
Saya tertarik untuk memberi sedikit pandangan mengenai isu pengemaskinian cas rawatan hospital di KKM, dan kami dapat lihat pelbagai reaksi dari isu tersebut. Sebelum itu, mari kita berlapang fikiran dan fahami semula mengenai isu ini. Jelas diterangkan bahawa perubahan caj adalah pada kelas 1 dan 2. Kelas 3 tetap tidak berubah. Ini perlu difahami dulu. Dan pesakit yang menggunakan fasiliti ini hanyalah sebanyak 1.6%, selebihnya menggunakan fasiliti kelas 3.
Memang benar, jika kita bercakap mengenai kenaikan, tak ada siapa yang akan suka. Orang memanglah marah, kenapa semuanya kena naik, tapi sebenarnya tak semua pesakit akan merasa kenaikan ini. Mereka yang menggunakan fasiliti kelas 3, golongan OKU, penerima bantuan kewangan, pelajar sekolah, penderma darah dan penderma organ semuanya akan diberikan pengecualian.
Realiti dalam negara, bukan hanya KKM tetapi kebanyakan kementerian mengalami pengurangan bajet dari tahun ke tahun. Dan bayangkan dengan pengurangan bajet ini, apakah kita masih fikir kementerian mampu untuk mengekalkan sistem yang sedia ada sekarang? Sebenarnya rakyat Malaysia sangat beruntung, dari sudut kesihatan kerajaan dah bantu banyak.
Saya belajar di Indonesia, dan saya rasa sendiri bagaimana sistem kesihatan di sana. Mereka tidak ada sistem bersubsidi seperti di Malaysia. Nak masuk ke emergency kena bayar deposit Rp200,000-500,000 (rm100-200), dah bayar baru boleh masuk, tak bayar ada hospital kerajaan tak benarkan pun masuk. Di sini, bayaran tolak tepi, nyawa kami utamakan dulu.
Setiap ubat-ubatan mereka perlu bayar sendiri. Doktor akan berikan perskripsi ubat dalam wad dan mereka akan bawa perskripsi ubat tu ke farmasi dan beli ubat-ubatan tu, baru ubat diberikan di dalam wad. Sampai IV drip Normal Saline tu pun mereka kena beli dulu, baru akan diberikan kepada pesakit. Di sini, ubat-ubatan adalah PERCUMA atau bayarannya adalah minimal.
Untuk setiap pemeriksaan darah mereka kena bayar. Di Malaysia, kalau kita nak ambil apa-apa darah, ambil sahaja. Di sana, nak ambil Full Blood Cont (FBC) pun mereka akan tanya pesakit, kadang-kadang hanya ambil bacaan Hb sahaja, atau Platelet sahaja, sebab pesakit tak mampu bayar, bayangkan macam mana nak melihat keadaan pesakit denggi dari hari ke hari dengan parameter yang terhad begitu.
Setiap kali nak xray kena bayar, apa lagi buat ultrasound dan MRI. Orang kita, akan diberikan percuma atau dikenakan bayaran minimal, cuma perlu menunggu sedikit lama untuk giliran mereka.
Banyak sistem-sistem insuran kesihatan kerajaan yang mereka perkenalkan, tapi matlamat tak tercapai.
Dan banyak lagi perbandingan yang saya boleh berikan, takut nanti perbahasan akan menjadi semakin panjang. Belum lagi saya bandingkan antara kesihatan primer antara dua negara, percayalah, ianya jauh berbeza.
Akan ada orang tanya, kenapa Indonesia? Bandinglah negara lain yang lebih maju, semua free!
Betul, memang lah percuma, tapi janganlah ambil dari satu sudut sahaja, kena lihat sistem negara mereka secara keseluruhan juga, sistem percukaian dan sebagainya.
Dan saya jadikan Indonesia sebagai contoh kerana Indoenesia bersebelahan dengan negara kita dan saya rasa sendiri sistem kesihatan mereka selama 6 tahun.
Tahu tak, awal saya masuk kerja, saya cukup terkejut melihat mutu sistem kesihatan di Malaysia? Saya ingatkan sistem kita sama saja macam Indonesia, tapi saya silap, kita lebih baik. Memang ada kelemahan sistem kita, tapi ianya kami perbaiki dari masa ke masa.
Jadi, sebab itulah bila saya melihat sistem kesihatan bersubsidi negara, saya dapat jangka, ianya tak akan bertahan lama, bila saya membandingkan dengan sistem di Indonesia.
Tapi, KKM tetap komited, buat masa ini, KKM tetap mahu membantu pesakit kita, mengekalkan sistem bersubsidi ini, kita mahu rakyat kita mendapat yang terbaik.
Untuk kita kekalkan sistem ini, perlu ada perubahan dan inilah perubahan yang KKM TERPAKSA lakukan. Sedikit kenaikan itu perlu untuk membantu kerajaan, supaya dapat menampung perbelanjaan.
Hari ini, kerajaan terpaksa menaikkan caj rawatan, tapi bukan semua yang terasa, hanya kepada GOLONGAN YANG MAMPU sahaja (kelas 1 & 2), yang lain kekal dibantu.
Orang kita marah apabila ubat tak cukup, banyak pemeriksaan darah tak boleh dibuat pada akhir tahun, tapi pernahkah orang kita fikir apakah dengan penambahan pesakit dan pengurangan bajet kementerian, apa kita mampu berikan semua perkhidmatan ini sehingga akhir tahun? Jika tidak dilakukan sesuatu, mungkin tahun depan, tak sampai setengah tahun, semua perkhidmatan tak dapat kami berikan kepada pesakit.
Dan saya pasti semua dari kita tak mahu dan berdoa ianya tak akan terjadi, sistem kesihatan bersubsidi ini akhirnya akan runtuh dan tiada lagi subsidi kesihatan, semua perlu bayar sendiri untuk rawatan seperti di Indonesia.
Yang membezakan hospital kerajaan dan swasta di Indonesia adalah hospital kerajaan bayaran sedikit murah dari hospital swasta. Bayar tetap bayar.
Merasionalkan kenaikan ini memang cukup susah, tapi kena lihat sistem kesihatan bersubsidi ini secara keseluruhan, jika kita mahu kekalkan sistem ini, sesuatu perlu dilakukan.
Apa yang kami dari KKM harapkan, dengan keputusan perubahan ini, untuk bajet-bajet tahun ke depan, kami akan mendapat lebih banyak dari kerajaan dan kami akan gunakan sebaiknya untuk rakyat kita.
Yes, this is not a popular decision, but it is the right thing to do…
Dr Khairul Hafidz Alkhair bin Khairul Amin
Pegawai Perubatan KKM