Putrajaya: Bekas Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan bekas Koperal Sirul Azhar Umar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan hukuman mati atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali bersama sama Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu yang dibacakan oleh Tengku Maimon.
Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.
Tengku Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah.
Hakim Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.
Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.
“Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat.
nuffnang_bid = “916a2e237c14137532c88b76c8203b65”;
“Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini,” kata Hakim Tengku Maimun.
Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.
Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes ‘prima facie’ terhadapnya.
Azilah Hadri dan Sirul Azhar masing masing akan dibawa pulang ke penjara Kajang dan Tapah untuk menjalani beberapa proses sebelum dilepas dan dibebaskan.
SUMBER : BERITA HARIAN