Penjelasan Sebenar Isu Gol Perak Ofsaid oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhidin Mohd Salleh. Umumnya semua sudah mengetahui bahawa pada separuh akhir kedua di Larkin baru-baru ini telah menyaksikan Juara Liga Super 2017, JDT telah menewaskan Perak 3-0 seterusnya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 dengan agregat 4-1. Tetapi yang menjadi persoalan dan topik perbualan hangat dan persoalan di media-media sosial oleh netizen ialah berkaitan dengan isu gol penyamaan pasukan Perak yang dibatalkan kerana offsaid.
Ramai yang berpendapat bahawa jaringan tersebut sepatutnya jaringan yang sah dan diberikan kepada pasukan Perak. Pengesahan dan penjelasan itu diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhidin Mohd Salleh yang mengakui pengadil serta pembantu pengadil kedua pada perlawanan itu sudah tersilap tafsir mengenai jaringan tersebut. Jika dilihat pada mata kasar kedudukan Zaquan memang ofsaid tetapi beliau tidak menyentuh bola atau menghalang pemain lawan iaitu Kunanlan. Jika dilihat pada ulang tayang video jaringan tersebut jelas menunjukkan yang Kunanlan membuat jaringan sendiri.
Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyifatkan kesilapan pengadil dan pembantu pengadil kedua itu sebagai satu keputusan yang sungguh berat untuk diterima kerana ia membabitkan perlawanan berskala besar. “Pemain JDT, (S Kunanlan) mendapat tekanan daripada perasaannya sendiri untuk menghalang daripada bola terlepas ke pihak lawan iaitu pemain Perak (Zaquan), sedangkan Zaquan hanya bergerak tanpa menghalang sebarang perbuatan Kunanlan untuk memainkan bola.
“Pembantu pengadil tersalah tafsir apabila dia melihat Zaquan berada pada posisi ofsaid dan hampir dengan Kunanlan. “Begitulah realitinya pandangan yang bakal dilihat oleh pembantu pengadil dan berbeza dengan pandangan pengadil atau pembantu pengadil yang lain.
“Dalam situasi itu, gol dijaringkan disebabkan kelemahan Kunanlan sendiri. Jadi, jaringan itu seharusnya dibenarkan dan permainan perlu diteruskan dengan sepak mula oleh pasukan JDT. “Bagaimanapun, sukar untuk melihat situasi secara realiti di atas padang jika hendak dibandingkan dengan penilaian yang begitu mudah untuk ditafsir menerusi rakaman video saja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.