KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Maldives mula menyiasat dakwaan penduduk di sebuah pulau terpencil di republik itu yang dilaporkan melihat sebuah “pesawat terbang rendah” pada pagi hari yang sama pesawat milik Malaysia Airlines penerbangan MH370 hilang.
Laman web berita Haveeru Online pada Selasa bagaimanapun melaporkan polis republik itu tidak memberikan sebarang butiran lanjut.
Laman web tersebut sebelum itu memetik saksi yang memberitahu mereka nampak sebuah pesawat berwarna putih dengan jalur merah — warna badan pesawat Malaysia Airlines — terbang menuju ke arah selatan Maldives.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 6.15 pagi pada 8 Mac lalu.
Penduduk di pulau Kudahuvadhoo itu juga mendakwa mendengar bunyi bising yang kuat semasa pesawat itu melintasi pulau mereka.
“Saya tidak pernah lihat pesawat terbang begitu rendah di pulau ini. Kami pernah nampak kapal terbang tetapi yang ini bukan seperti yang selalu kami lihat,” kata saksi itu, yang turut mendakwa ada saksi lain yang ikut melihat kejadian yang sama.
Kapal terbang kecil adalah antara pengangkutan utama di Maldives.
Wartawan Haveeru, Ahmad Naif yang menulis laporan itu mendedahkan pihaknya mendapat maklumat berkenaan sejak 9 Mac lagi tetapi sangsi dengan kesahihan dakwaan tersebut.
“Kami kemudian mendapat banyak maklumat yang serupa dan barulah kami menghubungi penduduk berkenaan,” katanya seperti dipetik oleh laman web berita Minivan News.
Seorang pakar penerbangan tempatan turut memberitahu Haveeru Online ada kemungkinan pesawat yang terbang rendah itu adalah MH370 kerana pada masa tersebut tidak ada pesawat yang dijadual terbang melintasi pulau berkenaan.
Laman web Minivan News pula melaporkan penerbangan dari sebuah lapangan terbang terdekat hanya dijadualkan pada pukul 7.20 pagi dan itupun menuju ke Male yang terletak ke arah timur laut.
Laman web yang sama bagaimanapun menimbulkan kesangsian terhadap dakwaan saksi. Memetik jurucakap tentera, Minivan News melaporkan mustahil pesawat sebesar Boeing 777-200 boleh mendarat di landasan terpencil di pulau karang di sekitar Maldives.
“Jika saudara bertanya apakah ada landasan di luar lapangan terbang komersial, jawapannya tidak ada,” kata Mejar Hussain Ali.
Jurucakap Maldives Airport Company Limited (MACL) juga meragui dakwaan penduduk di Kudahuvadhoo kerana “tidak ada maklumat sahih tentang pesawat berkenaan daripada radar atau penglihatan.”
“Ada terlalu banyak teori konspirasi. Kami tidak ada maklumat pesawat itu datang ke sini,” kata jurucakap MACL, Hassan Areef kepada Minivan News.
Laman web itu juga memetik beberapa orang penduduk yang enggan atau tidak dapat merumuskan dengan yakin bahawa pesawat yang mereka lihat pada pagi 8 Mac lalu adalah jenis Boeing 777-200.
nuffnang_bid = “916a2e237c14137532c88b76c8203b65”;
Usaha mengesan pesawat MAS itu yang masuk hari ke-12 kini digerakkan di kawasan yang meliputi keluasan 2.24 juta batu nautika. Ia menganjur di dua jalur — di sebelah utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan di sebelah selatan dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.
Dua jalur itu diunjurkan daripada data satelit yang mengesan lokasi akhir pesawat MH370 pada pukul 8.11 pagi pada 8 Mac lepas.
Maldives terletak di Lautan Hindi, kira-kira 400 kilometer di barat daya India. Namun republik itu tidak tersenarai di kalangan 26 negara yang diminta bantuan oleh Malaysia dalam operasi mencari pesawat yang hilang itu.
Bagaimanapun laporan Berita Harian pada Selasa meletakkan Maldives dalam radar. Laporan itu memetik sumber polis mengatakan siasatan ke atas simulator penerbangan yang diambil dari rumah juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah menemui rekod lima lapangan terbang di Lautan Hindi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Ibrahim Nasir di Male adalah satu daripadanya selain tiga lapangan terbang di India dan Sri Lanka serta pangkalan udara milik Amerika Syarikat di Diego Garcia.
Kapten Zaharie memandu pesawat penerbangan MH370 yang gagal mendarat di Beijing mengikut jadual pada pukul 6 pagi 8 Mac yang lalu setelah berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi hari yang sama.
Siasatan setakat ini mendapati pesawat itu telah dengan sengaja dilencongkan dari laluan asal. Sistem komunikasi pesawat itu juga didapati dimatikan dengan sengaja. Pendedahan itu menimbulkan spekulasi pesawat berkenaan mungkin dirampas namun siasatan masih meneroka pelbagai kemungkinan lain.
sape punya keje le..ya Allah permudahkn.
macam2 kita dengar kan…berharap sangat agar MH370 segera ditemui