Home » Uncategorized » Artikel Lawatan Ke Masjid Al-Aqsa Part 1

Artikel Lawatan Ke Masjid Al-Aqsa Part 1

Aku kongsikan tulisan Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor, Pengerusi Aqsa Syarif

Artikel 1: Passport Malaysia VS Diplomasi Jordan-Israel.

Kebelakangan ini, banyak pakej lawatan ke tanah suci Baitul Makdis dianjurkan oleh pelbagai pihak. Lawatan-lawatan ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan melambangkan kecintaan umat Islam kepada Baitul Makdis terutama Masjidil Aqsa; kiblat pertama umat Islam dan tempat singgah Nabi Muhamad s.a.w. dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Namun, perkembangan mendadak tawaran lawatan ke Baitul Makdis ini jika dilihat dari sudut yang lain, akan timbul beberapa persoalan yang menuntut kepada renungan dan pertimbangan yang lebih mendalam.

Keghairan umat Islam untuk menziarahi Masjidil Aqsa adalah di alu-alukan, namun masih ada beberapa pertimbangan lain yang perlu diambil kira.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia telah menegaskan agar umat Islam yang berasal luar dari Palestin dilarang daripada menziarahi Masjidil Aqsa. Timbul persoalan, kenapa ulama tersohor ini menghalang umat Islam dari luar Palestin menziarahi masjid yang mulia ini?

Dewasa ini, keselamatan Masjidil Aqsa yang sudah lebih dari empat dekad berada di bawah pendudukan Zionis Israel semakin terancam. Al-Qardhawi antara tokoh yang sangat peka tentang isu Palestin dan telah mula memperjuangkan isu ini sejak remaja lagi terlibat secara aktif menyuarakan kebimbangannya terhadap Masjidil Aqsa melalui khutbah, penulisan dan mengeluarkan fatwa tentang hukum berkaitan
Israel termasuklah isu mengiktiraf Israel, berdamai dengan Israel dan amaliah ishtihadiyah (serangan berani melawan Zionis sehingga syahid).

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan beranggapan itu hanyalah pandangan peribadi beliau sedangkan masih ada lagi pandangan ulama lain yang membenarkannya. Jadi, untuk lebih adil, mari kita lihat hujah-hujah yang membenarkan dan juga mengharamkan umat Islam dari menziarahi Masjidil Aqsa dan anda boleh membuat penilaian sendiri.

Dari sudut sejarah, Perjanjian damai di antara Jordan dan Israel pada 26 November 1994, yang didahului dengan Deklarasi Washington yang diputuskan pada 25 Julai tahun yang sama adalah poin penting ‘menghalalkan’ lawatan ke Baitul Makdis. Apakah yang dipersetujui di antara Jordan dan Israel melalui perjanjian ini? Sebagaimana namanya perjanjian damai, maka, berakhirlah permusuhan di antara kedua negara dan sehingga kini menjalin hubungan diplomasi sebagaimana mana-mana negara yang berdaulat.

Sebanyak 38 perkara disepakati dan persetujuan utama adalah berkaitan sempadan, ‘normalization’ (mewujudkan keadaan aman), keselamatan dan pertahanan, isu air, kedudukan Baitul Makdis dan isu pelarian Palestin.

Sejak dari termaktubnya perjanjian damai ini, maka, beberapa laluan keluar masuk dibina yang memungkinkan rakyat Jordan dan Israel menyeberang masuk ke Jordan mahupun ‘Israel’ untuk tujuan perlancongan, perdangangan dan urusan-urusan lain.

Perdagangan di antara kedua negara ini juga berjalan tanpa banyak sekatan. Segala perkara yang boleh menimbulkan permusuhan di antara kedua negara akan dibanteras.

Implikasi dari perjanjian damai ini cukup besar kerana sukatan pelajaran di sekolah-sekolah perlu diubah supaya tidak mengandungi apa-apa isi kandungan yang dilihat anti Israel atau menyentuh tentang kaum Yahudi (ini termasuklah ayat-ayat Quran dan hadis perlu ditapis supaya tidak menimbulkan keresahan bangsa Yahudi/Zionis Israel).

Pelancong dari luar termasuk dari Malaysia yang hendak menziarahi Baitul Makdis pula hanya boleh masuk melalui Tebing Barat yang bersempadan dengan Jordan. Tebing Barat sudah diduduki oleh Israel pada tahun 1967 dan menjadi sebahagian dari wilayah Palestin yang dijajah.

Apabila perjanjian damai di antara Jordan dan Israel dimeterai, maka, urusan kemasukan ke Baitul Makdis melalui Tebing barat adalah tertakluk kepada peruntukan lawatan ke Israel dari Jordan. Oleh kerana passport Malaysia tidak membenarkan rakyat Malaysia dari memasuki Israel atas alasan tiada hubungan diplomatik di antara kedua negara, maka, masalah ini diatasi melalui hubungan diplomatik yang wujud di antara Jordan dan Israel. Dalam ertikata lain, Deklarasi Washington dan Perjanjian Damai Jordan-Isreal
yang dimeterai telah ‘menghalalkan’ rakyat Malaysia khususnya untuk memasuki Baitul Makdis dalam rangka ziarah ke Masjidil Aqsa, dalam masa yang sama boleh kita katakan telah menghalalkan perdamaian dengan Israel.

Kembali kepada soal hukum, apakah hukumnya berdamai dengan Israel?

Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor
Pengerusi,
Aqsa Syarif.

Check Also

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan Baru tadi admin kongsikan link live streaming tentang pengumuman …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.