Home » BERITA » Dr Streram calon PH di PRK Rantau

Dr Streram calon PH di PRK Rantau

Dr Streram calon PH di PRK Rantau. Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, pada 9 April depan.

Dr Streram calon PH di PRK Rantau
Dr Streram calon PH di PRK Rantau

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata nama Dr Streram dipilih berdasarkan beberapa kriteria utama iaitu kelayakan akademik, rekod kerja, pengalaman selaku penyelaras DUN Rantau sekarang selain pernah dinafikan haknya bertanding secara tidak adil pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil kira faktor janji PKR untuk memberikan kerusi DUN Rantau selepas memindahkan kerusi dari DUN Jeram Padang ke Rantau yang mempunyai kira-kira 27 peratus pengundi India, pada PRU lalu.

Katanya, keputusan berkenaan berdasarkan prinsip menjaga kepentingan semua pihak dan memilih calon India dan perkara ini turut dibentangkan dalam Majlis Presiden dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, 9 Mac lalu.

“Kita juga berbuat demikian bagi menunjukkan bahawa PH tidak terkesan dengan tekanan luar yang mahukan calon Melayu bertanding di kerusi itu.

“Sebaliknya, kita sedar terdapat soal penting daripada isu kepimpinan Melayu kerana masalah lebih besar di Rantau ialah kemiskinan, termasuk dalam kalangan masyarakat India dan Cina.

“Biarpun sekarang hangat memperkatakan tentang calon Melayu tapi PKR tak mengikut sebab akan mempertahankan prinsip dasar keadilan semua kaum.

“Isu perkauman Melayu dan agama akan digunakan sepanjang kempen nanti tetapi 27 peratus pengundi di kawasan itu adalah kaum India dan perjuangan kita bukan berdasarkan kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman nama calon PH di Ibu Pejabat PKR di sini, sebentar tadi.

Bagaimanapun, majlis itu tidak dihadiri wakil komponen PH lain termasuk dari Parti Amanah mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Streram adalah calon PKR bagi kerusi DUN Rantau pada PRU lalu dan bertanggungjawab memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan PRU-14 di Mahkamah Tinggi Seremban pada 23 Mei tahun lalu.

Susulan itu, pada 16 September lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan dari Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

Pada PRU-14, Mohamad diumumkan menang selepas Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan disebabkan tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, Anwar berkata PH akan tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menang DUN Rantau biarpun bakal berdepan dengan cabaran Mohamad yang juga Pemangku Presiden UMNO, mewakili BN pada PRK itu nanti. – BH Online –

Check Also

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah. Mari seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyaksikan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *