Home » Uncategorized » Gambar 2 Model Rumah Bantuan Mangsa Banjir

Gambar 2 Model Rumah Bantuan Mangsa Banjir

Gambar 2 Model Rumah Bantuan Mangsa Banjir

Kerajaan baru sahaja memperkenalkan kepada media rekaan 2 model rumah untuk mangsa banjir yang kediaman mereka musnah 100% semasa banjir baru-baru ini. Berikut adalah Gambar 2 Model Rumah Bantuan Mangsa Banjir tersebut.


(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});

Berita Penuh sila rujuk laporan dari Utusan Online di bawah ini :

PUTRAJAYA 20 Jan. – Kerajaan mengemukakan dua model rumah bagi pembinaan semula kediaman yang musnah 100 peratus akibat bencana banjir terutama di Kelantan, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, model pertama adalah binaan terus di atas tanah manakala model kedua binaan di atas tiang setinggi 2.44 meter de­ngan keluasan 660 kaki persegi atau 61.31 meter persegi.

Beliau berkata, rumah berharga RM48,000 yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang makan, dapur, ruang tamu serta masing-masing satu bilik air dan bilik mandi itu akan dibina dalam masa 75 hari.

“Urusan pelantikan kontraktor akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) manakala urusan pemantauan untuk binaan semula akan diuruskan oleh JKR dan juga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Pembinaan rumah di atas tiang setinggi lapan kaki (2.44 meter) itu sebagai langkah persediaan untuk berdepan musibah banjir pada masa akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelan Tindakan Pasca Banjir Bilangan 1 2015 di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, sehingga hari ini sebanyak 2,606 buah rumah mangsa banjir musnah 100 peratus dan daripada jumlah itu, 2,374 adalah di Kelantan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Pusat juga bersetuju sekiranya kerajaan negeri ingin membantu dalam urusan pembinaan rumah baharu tersebut bagi mempercepatkan pemilikan penempatan baharu kepada mangsa yang terjejas.

Mengulas syarat pembinaan semula rumah tersebut, Muhyiddin berkata, syarat utama mestilah rumah yang musnah 100 peratus itu berada di tanah milik mangsa sendiri.

“Kita akan dahulukan pembinaan rumah baharu kepada mangsa yang mempunyai tanah sendiri, mereka yang rumahnya musnah berada di atas tanah milik orang lain atau milik kerajaan negeri perlu selesaikan masalah tersebut terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan memutuskan untuk memberi bantuan sebanyak RM5,000 sehingga RM10,000 kepada mangsa yang rumahnya rosak sebahagian semasa bencana banjir.

“Sehingga kini 6,275 rumah dilaporkan rosak sebahagian, namun jumlah itu tidak termasuk Kelantan kerana kerajaan negeri masih memerlukan masa untuk merekodkan jumlah sebenar rumah yang mengalami kerosakan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, sebarang bentuk bantuan pasca banjir di semua negeri terlibat perlu diseragamkan bagi mengelakkan ketidakadilan kepada penerima.

Dalam pada itu, katanya, bantuan RM500 kepada mangsa banjir seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diagihkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

“Bayaran segera dapat meringankan beban mangsa banjir, hari ini juga kita ada agihkan bantuan di Pontian, Johor. Tidak perlu tunggu semua nama kalau ada daerah yang sudah ada senarai kita akan agihkan segera,” katanya.

Mengulas situasi banjir di Sarawak ketika ini, Muhyiddin berkata, semua agensi telah diarahkan bersedia untuk berdepan situasi luar jangka.

Check Also

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020. Apakah kesudahan drama Cetera Hati Diya agaknya? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.