Home » BERITA » Ini Sebab Mengapa BTS Perlu Datang Ke Malaysia

Ini Sebab Mengapa BTS Perlu Datang Ke Malaysia

Ini Sebab Mengapa BTS Perlu Datang Ke Malaysia kata Syed Saddiq iaitu Menteri Belia dan Sukan Malaysia. Sebelum itu anda semua kena tahu siapa sebenarnya BTS ini. BTS ini bukan nya terminal bas ya tuan-tuan tetapi adalah satu band Kpop. Kpop sudah tentu ia datang dari Korea Selatan.

Ini Sebab Mengapa BTS Perlu Datang Ke Malaysia
Ini Sebab Mengapa BTS Perlu Datang Ke Malaysia

Berbalik kepada isu yang hendak diutarakan di sini. Ramai penggiat seni tanah air terutama penyanyi tidak bersetuju dengan tindakan menteri yang mahu membawa masuk ramai artis luar negara ke dalam Malaysia. Tetapi Syed Saddiq mempunyai sebab mengapa beliau berbuat demikian.

Malaysia perlu menjadi destinasi utama dalam penganjuran persidangan peringkat antarabangsa termasuk konsert yang dapat menarik kehadiran puluhan ribu pelancong asing ke negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia juga mempunyai fasiliti antara yang terbaik di Asia dan perlu dimanfaatkan bagi meraih dana sehingga puluhan juta ringgit.

“Tidak serik ke kita asyik tewas kepada Singapura, Thailand dan sekarang ini juga di tangan Indonesia dan Vietnam. Saya nak ubah aliran ini. Dahulu, Malaysia sentiasa dipilih sebagai destinasi utama bagi persidangan dan konsert antarabangsa yang menarik banyak pelancong luar.

“Lihat sahaja di Singapura, apabila kumpulan Coldplay dan BTS memilih negara itu sebagai destinasi pilihan, Stadium Nasional mereka penuh dan tiket habis terjual kurang daripada empat jam. Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan Singapura juga yang dapat kesan berganda dalam pelancongan. Semua mata tertumpu kepada Singapura, bukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Beberapa pihak sebelum ini termasuk yang terbaharu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengkritik tindakan Kementerian Belia dan Sukan mahu membawa masuk kumpulan K-Pop berpengaruh Korea Selatan iaitu BTS sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Mereka berpandangan kerajaan sepatutnya memberi peluang dan tumpuan terhadap penggiat industri kreatif tempatan untuk menjana pendapatan berbanding membawa masuk artis dari luar negara.

Sementara itu, jelas Syed Saddiq, fasiliti yang ada pada Malaysia seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena perlu dimanfaatkan bagi meraih dana termasuk bagi tujuan penyelenggaraan aset-aset tersebut.

“Perbadanan Stadium Malaysia kini dikendalikan oleh golongan professional, bukan sahaja lantikan politik. Dahulu, kita rugi dalam RM20 juta setahun walaupun fasiliti kita di antara yang terbaik di Asia.

“Kini, selepas rundingan kontrak-kontrak berat sebelah dan setelah saya melantik ahli lembaga pengarah yang baharu, kita akhirnya di landasan untuk menjana keuntungan yang pertama,” ujarnya.

Tambahnya, lihat sahaja bagaimana Stadium Wembley dikendalikan, bukan sahaja untuk tujuan bola sepak, tetapi sebagai ruang ikonik yang disewa dan diguna pakai oleh semua.

“Baru-baru ini, kita berjaya membawa Ed Sheeran untuk membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil, penuh stadium, orang Singapura dan Indonesia pun turun ke Malaysia. Stadium dan peralatan disewa dan peniaga peniaga kecil juga dapat nikmatnya, sama juga semasa Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan di Axiata Arena, penuh dan ramai yang dapat nikmatnya,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Muar itu lagi, tindakan menjemput artis luar negara bukanlah bermaksud kerajaan tidak menghargai artis-artis tempatan.

“Di Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia pun mereka jemput artis luar untuk datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka? Kita mesti berani berfikir di luar kotak.

“Saya tidak mahu Malaysia untuk jadi destinasi pilihan kedua dan ketiga. Saya mahu Malaysia menjadi nombor satu,” katanya.- UTUSAN ONLINE.

Check Also

Sekolah Di Putrajaya Ditutup 17 September 2019

Sekolah Di Putrajaya Ditutup 17 September 2019

Sekolah Di Putrajaya Ditutup 17 September 2019 akibat jerebu. Akibat daripada masalah jerebu yang melanda …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.