Home » Uncategorized » Johor Lulus Enakmen Lembaga Perumahan Dan Hartanah Johor 2014

Johor Lulus Enakmen Lembaga Perumahan Dan Hartanah Johor 2014

Johor Lulus Enakmen Lembaga Perumahan Dan Hartanah Johor 2014

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Enakmen Lembaga Perumahan Dan Hartanah Johor 2014.

Rang undang-undang itu diluluskan pada 5.19 petang selepas dibahaskan selama hampir tiga jam bermula jam 2.30 petang tadi.

Ia dibahaskan oleh lapan ahli dewan undangan negeri (ADUN) iaitu lima wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tiga wakil pembangkang, dengan masing-masing diperuntukkan masa kira-kira 10 minit.

Enakmen itu disokong semua 38 wakil rakyat BN, manakala semua 18 wakil pembangkang menolaknya.

Kerajaan negeri johor membentangkan rang undang-undang baharu bagi menubuhkan enakmen LPHJ 2014 pada persidangan DUN yang sedang berlangsung.

Pembentangan rang undang-undang itu dilakukan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi.

Hasrat kerajaan negeri Johor itu sebelum ini itu menimbulkan pelbagai persoalan, reaksi dan kritikan kerana dilihat boleh membuka peluang kepada pihak tertentu mengeksploitasikan institusi raja-raja.

Antara yang mengutarakan pandang termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan bimbang jika penglibatan institusi beraja dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh mendorong kepada perasaan tidak menghormati institusi itu dalam kalangan rakyat.

Dalam tulisan yang disiarkan diblognya, Dr Mahathir berkata, biarpun masyarakat Melayu setia terhadap institusi beraja, namun apabila keupayaan untuk mempertahankan institusi itu terhakis, mereka mungkin meninggalkan adat berkenaan.

Manakala Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar pula mendesak kerajaan Johor supaya tidak meluluskan rang undang-undang baharu itu kerana ia akan menjejaskan prinsip-prinsip pemerintahan beraja yang telah sekian lama mempertahankan kejayaan Malaysia.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan pembentangan satu enakmen baharu bagi penubuhan LPHJ perlu membawa kebaikan, manfaat serta melindungi kepentingan semua, terutama sekali rakyat.

Katanya, enakmen tersebut mestilah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem raja berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.

Bagaimanapun pada Ahad, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam sidang DUN menyatakan bahawa terdapat pindaan fasal dalam rang undang-undang itu khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.

Pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil pandangan itu selain mahu memelihara sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan selama ini.-Awani-

Check Also

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020

Episod Akhir Cetera Hati Diya 1 Julai 2020. Apakah kesudahan drama Cetera Hati Diya agaknya? …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.