Home » BERITA » Kes Lori Kebal 24 Anggota JPJ Ditahan Kerja 2 Bulan

Kes Lori Kebal 24 Anggota JPJ Ditahan Kerja 2 Bulan

Kes Lori Kebal 24 Anggota JPJ Ditahan Kerja 2 Bulan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan menahan kerja selama tempoh dua bulan ke atas 24 orang penguat kuasanya di Pulau Pinang yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melindungi pemandu ‘lori kebal’.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, tindakan itu diambil berdasarkan pekeliling arahan kerajaan Peraturan 43, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakukan dan Tatatertib) 1993.

Menurutnya, penahanan kerja itu akan bermula selepas kesemua yang terlibat tamat tempoh reman pada 23 April ini dan tindakan berkenaan diambil bagi mengelak proses siasatan membabitkan kes itu terganggu.

“Mereka boleh ditahan kerja untuk pertama kali ini selama dua bulan selepas bebas dengan jaminan SPRM. Dalam tempoh penahanan kerja itu, gaji mereka tetap dibayar seperti biasa.

“Kemudian, kita tunggu prosesnya dan kalau ada dalam kalangan mereka dipanggil untuk perbicaraan di mahkamah, kita akan ambil tindakan lain,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di ibu pejabat JPJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, JPJ bagaimanapun tidak sewajarnya menjalankan siasatan dalaman kerana kes itu masih dalam peringkat siasatan SPRM.

“Tindakan dalaman tidak wajar dilakukan dahulu sehingga selesai tindakan oleh SPRM kerana JPJ tidak boleh campur tangan dalam siasatan suruhanjaya itu.

“Biar siasatan dilaksanakan sepenuhnya tanpa gangguan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, penahanan yang dibuat ke atas penguatkuasa JPJ Pulau Pinang itu tidak menjejaskan atau melumpuhkan operasi di negeri berkenaan.

Katanya, ia juga sama sekali tidak mencerminkan imej sebenar JPJ negeri itu yang terdiri daripada 8,000 anggota secara keseluruhan.

“Pada masa sama, saya juga telah mengarahkan JPJ di negeri-negeri zon utara iaitu Perak dan Kedah untuk membantu kelancaran operasi JPJ di Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, Shaharuddin berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap isu integriti dan rasuah membabitkan kakitangan agensi tersebut bagi mencapai sasaran hasil kutipan RM4.3 bilion untuk tahun ini.

Menurutnya, ini kerana masalah rasuah atau salah guna kuasa sedemikian akan mengakibatkan ketirisan kepada hasil kerajaan.

“Sebagai antara agensi pengutip hasil kerajaan terbesar selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen, JPJ perlu bersih daripada elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan isu integriti,” katanya. – K! ONLINE

Check Also

2 Suspek Bunuh Pemandu Grab Berdepan Hukuman Mati

2 Suspek Bunuh Pemandu Grab Berdepan Hukuman Mati

2 Suspek Bunuh Pemandu Grab Berdepan Hukuman Mati. Dua suspek yang didakwa membunuh seorang pemandu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.