Home » BERITA » Klinik Desa Ditutup Kerana Gangguan Makhluk Halus

Klinik Desa Ditutup Kerana Gangguan Makhluk Halus

Klinik Desa Ditutup Kerana Gangguan Makhluk Halus. Klinik Desa Gesir Tengah di sini terpaksa ditutup sementara sejak seminggu lalu dipercayai akibat gangguan makhluk halus. Jururawat masyarakat yang bertugas di klinik berkenaan dikatakan trauma dan takut berada dalam klinik walaupun bertugas pada siang hari.

Klinik Desa Ditutup Kerana Gangguan Makhluk Halus
Klinik Desa Ditutup Kerana Gangguan Makhluk Halus

Dipercayai kelibat lembaga hitam dan jelmaan seorang perempuan tua menghantui klinik tersebut sejak 2007 dan acap kali tahun ini. Beberapa usaha pemulihan menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam turut dijalankan, namun belum berjaya menghentikan gangguan itu.

Surat makluman penutupan sementara klinik tersebut berserta lampiran laporan salinan kronologi kejadian aneh itu juga tular di media sosial. Tinjauan Sinar Harian mendapati, satu notis pemberitahuan penutupan diletakkan di pintu pagar utama klinik yang turut dikunci.

Terdapat sebuah sekolah rendah agama di belakang klinik tersebut selain bersebelahan tiga rumah penduduk dan sebuah bengkel motosikal di laluan hadapan klinik.

Perkhidmatan temu janji pesakit dan jururawat dipindahkan ke klinik paling dekat dengan jarak kurang lima kilometer di Klinik Kesihatan Sungai Selisek.

Ketika dihubungi melalui panggilan telefon, salah seorang jururawat terbabit enggan ditemu bual, namun dia mengesahkan laporan kronologi yang tular adalah benar seperti mana kejadian dialaminya.

Berdasarkan kronologi tersebut, jururawat terdahulu memohon untuk berpindah atas alasan sering diganggu lembaga hitam menyerupai perempuan tua selain bau dan bunyi pelik.

Pada tahun 2012, jururawat itu ditukarkan ke tempat bertugas baharu berikutan kejadian dia dirasuk dengan disaksikan jururawat dari klinik desa lain yang datang memberi bantuan.

Turut dimaklumkan mengenai penemuan beras berwarna kuning di dalam klinik dan tandas pada hampir setiap pagi dan kewujudan satu patung hitam di bumbung klinik.

Gangguan lembaga hitam itu berlarutan saban tahun dan kadangkala jururawat bertugas akan menunggu pesakit di pondok di pekarangan klinik dan hanya masuk ke dalam klinik sekiranya ditemani jururawat lain atau pesakit.

Kejadian mistik turut berlaku kepada seorang pesakit yang datang bersama tigak anak bagi melakukan periksaan rutin.

Anak sulung menarik tangan adiknya dan meminta ibu mereka keluar dari klinik selepas ternampak perempuan tua dengan rambut dan kuku panjang mengusap-usap rambut seorang lagi adiknya berusia tiga tahun.

Jelmaan makhluk itu sekali lagi dilihat pesakit pada Januari lepas selain gangguan bunyi pelik dan bauan aneh di dalam klinik berkenaan.

Mac lalu, seorang kanak-kanak menangis minta ibunya keluar dari klinik kerana ada perempuan tua yang menakutkan sedang memanggil ke arahnya.

Justeru usaha pemulihan sedang giat dijalankan pihak berkaitan sepanjang tempoh penutupan sementara klinik sehingga satu tarikh yang tidak dimaklumkan.

Dalam pada itu, seorang pekerja bengkel motosikal, Mohd Alif Mohd Noor, 27, berkata, bengkel di hadapan klinik berkenaan beroperasi seawal jam 9 pagi hingga lewat 3 pagi.

Menurutnya, pekerja atau pelanggan tidak pernah terlihat jelmaan makhluk halus itu kerana gangguan mistik (perempuan tua) hanya berlaku di dalam klinik.

“Banyak kali dah jururawat kat klinik ini tiba-tiba berlari keluar menjerit minta tolong dengan kami di bengkel.

“Kejadian berlaku siang hari dan mereka (jururawat) akan duduk di pondok tunggu orang kampung datang sebab ‘benda’ itu hanya ada di dalam klinik.

“Bukan sahaja nampak, jururawat kena rasuk pun ada tapi kami kat bengkel tak ada kena kacau walaupun buka sampai lewat pagi,” katanya.

Seorang penduduk, Mija Saidin, 70, berkata, rumahnya terletak bersebelah klinik tersebut dan dia tidak pernah mengalami sebarang gangguan mistik.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan dan Komuniti Kampung (MPKK) Gesir Tengah, Wan Khairul Azzuwan Wan Hamat berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kejadian aneh di klinik berkenaan.

Menurutnya, penutupan sementara klinik dimaklumkan kepada penduduk bagi mengelak tanggapan negatif terhadap kerajaan dengan dakwaan sengaja menamatkan kemudahan kesihatan.

“Klinik ini dibina sejak lebih 20 tahun lalu dan ia masih diperlukan maka kami mencadangkan agar operasi klinik berpindah menggunakan bangunan balai raya.

“Atau pun klinik ini dinaik taraf sebagai pusat hemodialisis dan sudah pasti klinik akan didatangi lebih ramai pesakit,” katanya. -Sinar Harian-

Check Also

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah

Livestreaming Istiadat Pemakaman Diraja Sultan Haji Ahmad Shah. Mari seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyaksikan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *