Manchester United Kalahkan Southampton 3-2. Sesungguhnya kemenangan ini memang menggembirakan seluruh peminat pasukan Man U setelah permulaan hambar pasukan ini di awal-awal musim.
Jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-89 di Old Trafford, jaringan keempatnya dalam dua perlawanan, membawa United kembali ke kedudukan empat teratas mengatasi Arsenal, yang seri berdepan Tottenham.
Skuad Solskjaer mensasarkan untuk menukar defisit 2-0 pada saingan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di PSG awal pagi Khamis nanti.
“Bilik persalinan ceria, mereka gembira, tidak sabar menunggu Rabu,” kata pengendali dari Norway itu.
“Kami akan bermain menentang satu daripada pasukan terbaik Eropah dengan pemain kualiti terhebat, tetapi siapa yang tahu? Ini pernah berlaku sebelum ini, terlalu banyak kebangkitan hebat.
“Liga Juara-Juara sudah memberikan beberapa kebangkitan hebat, contohnya PSG berdepan Barcelona. Kami perlu melakukannya jauh dari laman sendiri, tapi kami ada lapan perlawanan berturut-turut menang di tempat lawan.
“Kami yakin walaupun jauh dari laman sendiri dan jika kami dalam perlawanan berbaki 20 atau 30 minit, siapa yang tahu?”
Mentor Solskjaer, Alex Ferguson terkenal dengan kemenangan saat akhir ketika zaman keemasan yang turut disertai pemangku pengurus United ketika ini, yang menjaringkan gol kemenangan pada tamat permainan final Liga Juara-Juara 1999 berdepan Bayern Munich.
Dan pengendali dari Norway itu tampak mahu mengembalikan semangat era Ferguson selepas United meraih tiga mata berharga ketika bertemu Southampton.
“Ia seperti dulu,” kata Solskjaer. “Saya menjadi sebahagian daripadanya banyak kali. Kami bercakap mengenainya pada babak pertama dan saya kata dapatkan bola dalam kotak penalti dan banyak menyerang kerana Stretford End akan menyukarkan kamu.
“Saya tidak mahu mengganggu Andreas (Pereira) dan Romelu, kerana mereka adalah pemain dengan penyudah hebat, tetapi semangat hanyalah sebahagian daripada sejarah kelab ini. Banyak yang sudah kami lakukan sebelum ini.” – BH Online