Home » BERITA » Peraturan Baru Cermin Gelap Oleh JPJ 2019

Peraturan Baru Cermin Gelap Oleh JPJ 2019

Peraturan Baru Cermin Gelap Oleh JPJ 2019. Berkuat kuasa 8 Mei 2019, penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Peraturan Baru Cermin Gelap Oleh JPJ 2019
Peraturan Baru Cermin Gelap Oleh JPJ 2019

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata penggunaan lapisan filem atau cermin gelap yang hitam sepenuhnya itu bagaimanapun disertakan dengan syarat ia dilengkapi cermin pemantul kanan dan kiri.

Katanya, kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan dan cermin kiri serta kanan pemandu, masing-masing masih kekal 70 dan 50 peratus seperti peraturan sedia ada.

“Kebenaran ini hanya bagi kenderaan milik persendirian, tidak termasuk kenderaan yang didaftar dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Loke berkata, pindaan ke atas Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai.

Katanya, ia juga selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan.

“Ramai yang minta kita longgarkan syarat untuk cermin lebih gelap supaya lebih tahan haba. Kita ambil pertimbangan (untuk cermin belakang), tapi tidak boleh berkompromi bagi cermin depan dan pemandu.

“Selain itu, kita tahu banyak masalah praktikal yang timbul terutama bagi kenderaan import yang mempunyai cermin gelap di bahagian penumpang,” katanya.

Loke berkata, kerajaan akan mengenakan fi RM50 ke atas setiap permohonan atas faktor keselamatan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan fi RM5,000 jika diluluskan, namun tiada caj dikenakan bagi permohonan atas faktor kesihatan.

Katanya, ia berbeza dengan amalan sebelum ini yang mana permohonan penggunaan cermin gelap hanya memerlukan kelulusan Menteri Pengangkutan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa sebarang fi dikenakan.

“Mana-mana individu boleh memohon menggunakan cermin lebih gelap (sama ada lapisan filem atau kaca lebih gelap) bermula esok. Setiap kelulusan yang diberikan adalah untuk tempoh dua tahun.

“Individu yang diluluskan penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi sama dalam setiap permohonannya, sekali gus meningkatkan hasil kerajaan dan ketelusan,” katanya.

Loke berkata, satu jawatankuasa diketuai Ketua Pengarah JPJ ditubuhkan bagi memproses semua permohonan penggunaan cermin gelap berkenaan yang perlu disertakan dengan alasan.

“Selain itu, kita akan buat pemeriksaan dengan polis kerana pemohon tidak boleh ada kes jenayah dan mesti lunaskan semua bayaran saman tertunggak sebelum permohonan diluluskan. Permohonan pengecualian atas faktor kesihatan pula hendaklah mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan,” katanya.

Berdasarkan rekod, katanya, terdapat lebih 20,000 kenderaan menggunakan cermin gelap di negara ini dari 2011 hingga 2018, termasuk 5,469 permohonan yang diluluskan menteri bertanggungjawab.

“Sejak setahun lalu, saya menerima banyak permohonan cermin gelap daripada orang kenamaan sebab sebelum ini ia dibolehkan, tapi satu pun saya tidak luluskan. Semua surat itu akan saya hantar kepada jawatankuasa,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan peraturan baharu itu akan bermula Ogos ini, justeru pemilik kenderaan yang menggunakan cermin gelap mempunyai tempoh tiga bulan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. -BH-

Check Also

Hari Terakhir Hospital Bersalin Kuala Lumpur

Hari Terakhir Hospital Bersalin Kuala Lumpur

Hari Terakhir Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Bermula 17 September 2019, tiada lagi bangunan Hospital Bersalin …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.