Home » Uncategorized » Pesawat MH370 Hilang, Berita Palsu Media Siber Jejas Imej Kewartawanan

Pesawat MH370 Hilang, Berita Palsu Media Siber Jejas Imej Kewartawanan

Laporan yang kurang tepat memang menjadi kemarahan kepada pembaca berita terbabit. Dengan dunia yang serba canggih seperti tiada sempadan sesuatu berita akan dapat diakses dengan mudah dari seluruh dunia.

Jadi mari kita sama-sama baca berita dari Sinar Harian yang aku petik dari blog seorang sahabat iaitu Relevan Sokmo

KUALA LUMPUR – Tindakan orang ramai menyalurkan pelbagai “berita” dalam laman siber sebenarnya menjejaskan imej dunia kewartawanan kerana mereka memberi pendapat berhubung sesuatu isu atau kes tanpa mempedulikan kesahihan dan kredibiliti.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Mohamad Md Yusoff berkata isi kandungan yang terdapat dalam media siber kebanyakannya dimanipulasi sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.
   
“Mereka tidak mempunyai ilmu dan kredibiliti sebagai wartawan tetapi menyalurkan maklumat sesuka hati dan seolah-solah sebagai wartawan dan tindakan mereka telah mencemarkan profesion kewartawanan,” kata beliau kepada Bernama di sini.
   
Katanya, wartawan sebenar adalah wartawan yang terlatih dan tidak menulis sesuatu berita yang tidak mempunyai kesahihan atau bukti yang kukuh.
  
“Banyak manipulasi dan boleh dikatakan seperti tukang mereka berita dalam media siber ini. Media siber adalah satu pendapat bukan berita, cerita putar belit, dimanipulasikan seolah-olah macam berita tetapi sebenarnya bukan berita,” katanya.
  
Mohamad berkata demikian bagi mengulas pelbagai spekulasi berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada Sabtu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
   
Beliau sebelum itu menjadi panel dalam program Ruang Bicara dengan topik ‘MH370-Fakta dan Spekulasi’ kelolaan BernamaTV di sini malam tadi.
   
Katanya orang ramai diminta jangan membuat dan mempercayai spekulasi yang sering dimuat naik dalam laman sosial dan hanya merujuk berita yang ditulis oleh wartawan bertauliah.
   
Ditanya mengenai dakwaan kononnya media tempatan lambat menyalurkan maklumat berhubung insiden itu berbanding media barat, beliau berkata: “Orang yang kata ini pun tidak tahu apa itu media dan dia cuba untuk menjadi wartawan yang tidak bertauliah”. 
    
 
Mohamad berkata orang ramai perlu mengetahui bahawa dalam etika kewartawanan ia menuntut wartawan supaya melaporkan sesuatu berita berdasarkan fakta yang tepat daripada sumber berautoriti untuk bercakap mengenai sesuatu isu.
  
“Kerana dalam krisis komunikasi mesti ada SOP (Prosedur Operasi Standard), kerana melibatkan fakta, fakta tak betul boleh disaman, media bukan sahaja untuk hiburan,” katanya.
   
Sementara itu, Pensyarah di Pusat Permata Insan Universiti Sains Islam Malaysia Abu Bakar Abd Jalal berkata maklumat mahupun kenyataan rasmi tidak boleh sewenang-wenangnya dikeluarkan oleh individu kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi.

  

nuffnang_bid = “916a2e237c14137532c88b76c8203b65”;

    

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Analisis Strategik dan Keselamatan) berkata, menerusi Akta Rahsia Rasmi penjawat awam tidak boleh mengeluarkan sesuatu maklumat tanpa kebenaran pihak atasan.
   
“Jadi orang ramai kena faham ada peraturan, undang-undang dan prosedur tertentu yang perlu dipatuhi dan tiada bukti yang sahih maka tidak boleh
mengandaikan sesuatu sekiranya belum ada bukti,” katanya.
   
Sehubungan itu, Abu Bakar menasihati orang ramai yang menginginkan laporan berita berhubung pesawat Boeing 777-200ER itu yang hilang semasa merentasi Laut China Selatan itu dengan pantas, perlu mendapatkannya daripada media arus perdana seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mahupun media kerajaan kerana sumbernya lebih tepat daripada pihak berautoriti.

p/s : jadi tunggu la berita yang official baru boleh kita kongsikan untuk semua. Ayuh rakyat Malaysia jangan putus mendoakan agar kesemua yang terlibat selamat #prayformh370

Check Also

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan Baru tadi admin kongsikan link live streaming tentang pengumuman …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.