Home » BERITA » Program Sarapan Percuma (PSP) Sekolah Rendah

Program Sarapan Percuma (PSP) Sekolah Rendah

Program Sarapan Percuma (PSP) Sekolah Rendah bermula tahun depan iaitu tahun 2020. Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu catatan laman Facebooknya berkata bermula Januari 2020, sarapan percuma akan disediakan buat semua pelajar di sekolah rendah seluruh negara.

BERMULA JANUARI 2020, SARAPAN PERCUMA AKAN DISEDIAKAN BUAT SEMUA ANAK-ANAK DI SEKOLAH RENDAH SELURUH NEGARA

Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan anak-anak kita perutnya sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat.

Sehubungan itu, bermula dari Januari 2020, KPM bakal melancarkan program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara. Melalui program ini nanti, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma.

KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan penuh kegembiraan.

YB Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Program Sarapan Percuma (PSP) Sekolah Rendah
Program Sarapan Percuma (PSP) Sekolah Rendah

Makanan bagi sarapan percuma untuk pelajar perlu seimbang, berkhasiat, halal, mengambilkira sensitiviti kaum yang tidak mengamalkan pemakanan daging dan peka terhadap alahan makanan.

Ia antara pelbagai reaksi yang diterima daripada masyarakat secara amnya sejak pengumuman mengenai Program Sarapan Percuma (PSP) semalam oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Setiawangsa Shahpandi Abdul Manan yang menyambut baik cadangan kementerian itu pada masa sama memberi cadangan yang perlu diperhalusi bagi mengoptimumkan impak pelaksanaan.

“Secara keseluruhannya, PIBG menyambut baik cadangan itu, matlamat yang jelas dalam menyediakan diet sihat. Secara tidak langsung, ia memupuk adab dan tatasusila, didik pelajar lebih disiplin dan menggalakkan interaksi kaum.

“PSP juga membantu golongan kurang bermampuan yang mungkin terpaksa ‘skip breakfast’ setiap hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahpandi berkata isu seperti ‘picky eaters’ dalam kalangan pelajar terutamanya dari Tahap Satu perlu dititikberatkan selain penyediaan makanan pilihan bagi golongan yang mungkin tidak suka dengan sarapan diberikan atau alergik terhadap sesuatu makanan.

Dalam pada itu, seorang pemanggil radio MINNALfm yang hanya dikenali sebagai Kennedy berharap sarapan percuma itu mengandungi komposisi khasiat seimbang dan elakkan penggunaan gula berlebihan.

“Trend kes diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan. Adalah penting agar segala jenis cara pemakanan yang tidak sihat dibendung awal,” katanya menerusi wawancara program ‘Kaalai Kathir’ terbitan radio itu, pagi ini.

Seorang netizen dalam Facebook dengan nama Zam Hairul berkata : “Alhamdulillah, terbaik, ini satu pelaksanaan yang amat bagus untuk ibu bapa, jika ada murid yang terlalu hidup susah hingga setiap hari makan kulit ayam, Allahhuakhbar, lepas ni tak perlu lagi, anak anak pun sihat,”.

See Mei yang juga warganet berkata “ objektif dan tujuan program sarapan percuma ini memang sangat baik. Tetapi sesetengah murid sangat memilih makanan, mereka mungkin memilih untuk membeli dari kantin, atau beberapa dibawa dari rumah mereka dan setiap sekolah sepatutnya mempunyai senarai pelajar yang ingin sarapan pagi percuma ini, memesan kuantiti yang sewajarnya untuk mengelakkan pembaziran makanan”.

Maszlee dalam satu catatan laman Facebooknya berkata bermula Januari 2020, sarapan percuma akan disediakan buat semua pelajar di sekolah rendah seluruh negara.

“Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Terbaru hari ini, beliau turut memuatnaik foto dengan input soalan lazim mengenai PSP, antaranya waktu pelaksanaan, peruntukan kewangan dan cara pengurusannnya.

Menurut Maszlee lagi, PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit, antara 7 hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan antara 12 tengah hari hingga 4 petang bagi sekolah sesi petang.

“Proses penentuan menu PSP adalah melalui perbincangan berterusan dengan Kementerian Kesihatan dan pakar pemakanan di beberapa universiti tempatan,” katanya dalam laman Facebook rasmi beliau, Dr Maszlee Malik (https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/)

— BERNAMA

Check Also

Ahli Parlimen Tanjung Piai Meninggal Dunia

Ahli Parlimen Tanjung Piai Meninggal Dunia

Ahli Parlimen Tanjung Piai Meninggal Dunia. Ahli Parlimen Tanjung Piai dan juga merupakan Timbalan Menteri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.