Home » BERITA » Selesai Masalah 1MDB Kerajaan Habis Banyak Masa

Selesai Masalah 1MDB Kerajaan Habis Banyak Masa

Selesai Masalah 1MDB Kerajaan Habis Banyak Masa. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan banyak membuang masa dalam tahun pertamanya untuk menyelesaikan pelbagai masalah besar yang ditimbulkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri berkata, gabungan itu diwujudkan untuk menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi yang telah mencuri dan membazirkan berbilion-bilion ringgit wang rakyat, namun tanpa diduga telah memperoleh mandat rakyat dalam pilihan raya umum pada 9 Mei tahun lepas.

Selesai Masalah 1MDB Kerajaan Habis Banyak Masa
Selesai Masalah 1MDB Kerajaan Habis Banyak Masa

“Ia satu pilihan raya umum yang sangat penting kerana ia memberi peluang untuk menamatkan sebuah kerajaan yang korupt Sekarang kita tidak lagi dikenali sebagai sebuah negara kleptokrasi.

“Sukar untuk membayangkan apa akan jadi kepada negara sekiranya majoriti rakyat Malaysia tidak bangkit menyahut seruan untuk menumbangkan kerajaan terdahulu.

“Kita telah dapat mengelakkan malapetaka kewangan yang hanya menanti masa untuk berlaku sekiranya skim penipuan untuk melindungi kesalahan-kesalahan 1MDB tidak ditemui dan dibetulkan,” katanya dalam ucaptama pada pelancaran ‘Invest Malaysia 2019’, di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata, dalam tempoh sepuluh bulan pentadbirannya, kerajaan menyedari sepenuhnya perasaan rakyat bawahan.

“Kerajaan kini sudah mengetahui sebesar mana kerosakan yang telah dilakukan oleh kerajaan kleptokrasi tersebut terhadap negara. Ia bukan sengaja mahu diperbesar-besarkan tetapi hampir setiap hari kami membongkar kerosakan baharu,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, walaupun tugas itu belum muktamad dan mungkin akan mengambil masa beberapa tahun untuk diselesaikan, namun kerajaan perlu terus mara untuk memajukan negara.

“Kita ada banyak tugas yang belum selesai. Kita perlu membangunkan negara dan untuk mencapai tujuan itu, kita perlu mengatur semula Malaysia. Matlamat kita jelas, untuk menjadi sebuah negara maju daripada segala segi.

“Pembangunan yang dijalankan hendaklah memberi manfaat kepada setiap rakyat, di mana kekayaan dikongsi bersama dan pembangunan yang dicapai adalah pembangunan yang lestari. Kita komited untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang turut mengandungi keadilan sosial,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk menghentikan kerosakan itu dan mengembalikan negara ke landasan yang kukuh.

Antara lain, kata Dr Mahathir, langkah pertama yang akan dilakukan oleh kerajaan baharu ialah memastikan institusi-institusi yang terjejas diperbetulkan dan diperkukuh, sambil menegaskan bahawa negara tidak boleh lagi melalui episod hitam di bawah sebuah rejim kleptokrasi.

“Kerajaan yang mempunyai proses semak dan imbang yang kukuh akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa kepada kerajaan.

“Kita telah melakukan pelbagai perubahan dan memperkenalkan pelbagai langkah pembaharuan. Dengan terlaksananya semua ini, ia akan memberi satu dorongan kepada ekonomi dan pasaran modal dalam jangka waktu panjang.

“Malangnya, tidak semua orang tahu mengenai perubahan-perubahan ini. Kita mesti berusaha lebih keras untuk memberi penerangan kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

Check Also

Geng Picit Roti Direman 4 Hari

Geng Picit Roti Direman 4 Hari

Geng Picit Roti Direman 4 Hari. Anda dah tengok video bangga mereka ini merosakkan barang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.