Home » Uncategorized » Siapa Dwi Handayani?

Siapa Dwi Handayani?

Siapa Dwi Handayani?

Anda nak tahu siapa sebenarnya gadis yang bernama Dwi Handayani? Anda baca artikel yang admin kongsikan dari Metro Online.
Gadis berlesung pipit ini ditemui sempena sidang media pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah penganjuran Anugerah Muslimah Dunia 2015, baru-baru ini.

Pemurah dengan senyuman, Dwi Handayani Syah Putri sebenarnya pemenang tempat pertama Anugerah Muslimah Dunia 2012 anjuran Yayasan Muslimah Dunia (WMF) yang diadakan di Jakarta.

Bukan saja petah berkata-kata malah setiap tuturnya lembut meskipun kelihatan agak berhati-hati apabila berbicara.

Menurut Dwi, seorang Muslimah yang baik tidak boleh menyakitkan hati orang lain sama ada menerusi perbuatan fizikal mahupun ketika mengeluarkan kata-kata.

“Islam mengajak kita untuk sentiasa berbuat baik dengan insan lain. Tidak kira siapa, kita perlu melayan mereka dengan baik dan jangan sesekali menyakiti hati orang lain.

“Saya percaya, jika kita berbuat baik dan menolong orang, Allah SWT pasti akan memudahkan jalan kita pula,” katanya.

Gadis manis berusia 20 tahun itu sebelum ini disebut-sebut antara calon kegemaran untuk memenangi pertandingan berkenaan namun akur kerana rezeki bukan berpihak pada dirinya.

Menurut Dwi, pertandingan itu bukan sekadar menonjolkan kecantikan wajah semata-mata kerana ia sebenarnya adalah platform mengetengahkan ikon wanita Muslimah solehah untuk dihormati dan menjadi teladan di seluruh dunia.

Kata Dwi, pertandingan berkenaan mencari wanita yang mempunyai penerapan nilai Islam selain mempunyai dedikasi terhadap pembangunan masyarakat.

Sepanjang pertandingan, semua peserta yang disenaraikan untuk peringkat akhir perlu menjalani beberapa program sebelum dipilih sebagai pemenang.

“Peserta dinilai berdasarkan beberapa kriteria antaranya kefasihan dalam membaca dan menghafal al-Quran selain kecemerlangan dalam bidang sukan, akademik dan budaya.

“Selain itu, aspek sampingan lain seperti kecantikan, pengucapan awam, fesyen serta kemahiran dalam sesuatu persembahan juga diambil kira,” katanya.

Pemenang pertandingan itu juga bertindak sebagai ‘orang tengah’ untuk menyampaikan harapan wanita Muslimah dari seluruh dunia.

Selain itu, mereka juga menjadi ejen untuk menyampaikan mesej keamanan kepada seluruh masyarakat.

Ditanya mengenai kemenangannya sebagai pemenang tempat pertama, Dwi berkata dia percaya ajal pertemuan, jodoh dan rezeki semuanya ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi.

“Bagi saya, pemenang utama iaitu Nina Septiani mempunyai kelebihan dan keistimewaannya sendiri.

“Apapun, dipilih sebagai pemenang tempat pertama pun sudah memadai bagi saya kerana ini adalah pertandingan pertama saya,” katanya dengan senyuman.

Penyertaannya dalam pertandingan itu bermula apabila seorang pelajar senior di universitinya memintanya untuk menghantar permohonan.

Bagaimanapun Dwi hanya memutuskan untuk mencuba nasib selepas mendapat keizinan daripada ibu dan bapanya.

Pada mulanya ibu bapanya enggan membenarkan kerana menganggap ia sekadar pertandingan ratu cantik semata-mata. Tetapi selepas diberi penerangan, mereka akhirnya mengizinkan Dwi kerana program terbabit mendekatkan wanita kepada agama dan masyarakat.

Katanya, syarat penyertaan pertandingan itu tidak serumit mana dan hanya memerlukan peserta menghantar video pendek selama empat minit mengenai aktiviti berunsur keagamaan atau kemasyarakatan.

“Dengan bantuan rakan karib, saya menghasilkan satu video pendek mengenai barang yang boleh dihasilkan menerusi kitar semula.

“Tidak disangka video itu menarik perhatian ramai dan diundi untuk layak ke peringkat separuh akhir bersama 99 peserta lain. Selepas saringan dan pemilihan, saya kemudiannya dipilih bersama sembilan finalis lain untuk ke peringkat akhir,” katanya.

Selepas pengumuman kemenangannya itu, Dwi mengakui hidupnya kini berubah hampir 100 peratus. Dulu, dia boleh keluar ke tempat awam begitu saja tetapi kini, ada saja mata yang memandang termasuk mula menghampiri untuk merakam gambar sebagai kenangan.

Perubahan itu sedikit sebanyak mematangkan dirinya terutama ketika menyertai siri jelajah kebajikan yang dianjurkan pihak yayasan (WMF) ke seluruh Indonesia.

Menerusi pertandingan itu juga dia dapat memperbaiki diri sebagai Muslimah yang lebih baik bukan saja untuk agama tetapi untuk keluarga dan masyarakat.

“Banyak aktiviti agama dan kemasyarakatan dilakukan bersama WMF antaranya dibawa melawat golongan susah termasuk mangsa bencana alam di Acheh serta seluruh Indonesia.

“Kami diberi peluang untuk mendekati dan menghayati sendiri kesengsaraan yang mereka alami. Ia sedikit sebanyak merubah diri saya serta rakan yang lain untuk menjadi insan yang lebih baik selain sentiasa berfikiran positif dan menghargai kehidupan yang Allah SWT berikan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Seperti gadis lain, dia juga amat meminati dunia kecantikan dan fesyen. Sejak kecil iaitu sekitar usia 10 tahun, Dwi sudah mula bermain dengan mesin jahit ibunya dan sedikit sebanyak minat itu bercambah apabila menginjak dewasa.

“Saya gemar melihat fesyen terutama berkaitan pakaian yang menutup aurat untuk Muslimah dan ikon fesyen saya ialah selebriti Indonesia terkenal iaitu Ineke dan pereka Dian Pelangi.

“Bagi saya, fesyen Muslimah tidak terhad kepada jubah labuh kerana asalkan pakaian itu dapat menutup aurat dengan sempurna, ia sudah memadai.

“Namun, saya pastikan setiap busana yang disarung itu tidak bertentangan dengan tuntutan agama,” katanya yang mula berhijab ketika berusia 13 tahun.

Dalam kesibukannya memenuhi undangan fotografi dan sesi jelajah bersama WMF, Dwi mengakui berusaha untuk membahagikan masa sebaiknya terutama pengajiannya di Universitas Mercu Buana, Jakarta, baru memasuki tahun pertama.

Pelajar jurusan perhubungan awam itu berkata, buat masa ini, dia mahu menghabiskan pengajiannya terlebih dulu sebelum memilih kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan matlamat hidupnya.

“Saya mahu menjadi seorang pegawai perhubungan awam profesional dan pada masa sama, turut meminati bidang fesyen. Selain itu, bisnes keluarga yang kini diuruskan bapa juga tidak boleh diabaikan.

“Semoga Tuhan dapat memberi petunjuk yang jelas kepada saya untuk menentukan hala tuju hidup selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Dwi turut berharap masyarakat akan lebih menghormati dan menghargai wanita meskipun seseorang itu memakai hijab.

Kebolehan dan keupayaan seseorang Muslimah itu tidak boleh diketepikan semata-mata kerana memakai hijab.

“Masyarakat perlu berfikiran lebih terbuka kerana tidak semestinya wanita yang menutup kepala itu juga memiliki otak yang ‘tertutup’.

“Sebaliknya, Muslimah yang memilih untuk berhijab itu mahu berubah menjadi wanita solehah yang lebih baik. Jadi, jangan berprasangka negatif terhadap wanita berhijab kerana ia satu komitmen mereka terhadap agama yang dicintai,” katanya.

Check Also

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan

MH370 : Pengumuman Khas DCA Dibatalkan Baru tadi admin kongsikan link live streaming tentang pengumuman …

One comment

  1. lawa.. manis orangnya. sedap nama dia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.