Siapa Sebenarnya Lelaki Jelir Lidah yang tular di media sosial semasa kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini. Pastinya anda semua terkejut dengan laporan berita ini. Lelaki yang tular ini sebenarnya bernama S Kanagarajah dan merupakan seorang ahli perniagaan. Bukan biasa-biasa tu. Bukan anggota PDRM seperti yang diperkatakan dalam media-media sosial.
Sambil menyifatkan tindakan netizen yang meniru gayanya adalah melucukan, Kanagarajah berkata, dia tidak sengaja membuat mimik muka seperti itu. “Saya bukan sengaja, kalau awak tengok kawan awak muka kena potong keluar darah, kita tolong mereka pada masa itu,” katanya. Menurutnya, dia kecewa terhadap insiden yang berlaku.
“Saya buat begitu kerana terlalu kecewa dengan keadaan yang berlaku pada masa itu,” katanya. Menceritakan semula kejadian itu, dia berkata, sekumpulan lelaki memasuki kuil dengan membawa senjata tajam. “Pada masa itu, kita adakan upacara sembahyang dan dalam kuil semua ada dalam 40 orang termasuk wanita dan orang tua .
“Jadi kami mahu lindungi mereka,” katanya. Kanagarajah berkata, apa yang berlaku tidak melibatkan isu perkauman. “Saya boleh cakap ini 100 peratus bukan masalah perkauman kerana kita berkawan baik dengan semua orang,” katanya. Bagaimana pun, dia tidak menolak sekumpulan individu yang melakukan rusuhan itu diupah oleh pihak lain.
“Sudah tentu! Tiada orang melakukan perbuatan seperti itu percuma,” katanya. Tambahnya, dia tidak menerima sebarang ugutan dan ancaman daripada mana- mana pihak selepas video itu tular. Video tersebut menjadi tular sehingga mencetuskan parodi di media sosial menggunakan #Deychallenge dan #Theyychallenge.
Terdahulu, video berdurasi sembilan saat itu menunjukkan seorang lelaki sedang mengawal keadaan di kuil berkenaan. Selain itu, gambar lelaki sama dalam video berkenaan memakai uniform polis turut tular di laman sosial sehingga wujud spekulasi ada anggota polis terlibat.
Bagaimana pun, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, individu tersebut merupakan anggota Polis Simpanan Sukarelawan (PVR) yang telah ditamatkan perkhidmatannya.
Isu pemindahan kuil itu telah mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa, yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.
Seramai 30 individu ditahan polis berhubung kes tersebut.