Wanita Jerlus Dalam Lubang Tandas. Seorang peghuni wanita sebuah rumah penjagaan pesakit mental swasta di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Katil, terpaksa menahan sakit lebih sejam selepas terjerlus ke dalam lubang tandas di pusat kebajikan itu, malam kelmarin.
Mangsa berusia 50-an itu, dikatakan terjerlus ke dalam lubang tandas jenis cangkung selepas dipercayai mahu membuang air sebelum kedua kakinya termasuk ke dalam lubang di permukaan mangkuk yang dikatakan sudah pecah sejak beberapa hari lalu.
Keadaan itu dikatakan membuatkan wanita itu panik dan meronta untuk keluar, namun gagal menyebabkan tubuh mangsa semakin memasuki lubang berkenaan sehingga ke paras dada.
Melihat keadaan mangsa, pengurusan rumah kebajikan itu meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Ketua Balai Bomba Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Alias Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.53 malam, sebelum tujuh anggota bersama satu jentera bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati seorang mangsa wanita terjerlus ke dalam lubang tandas sehingga ke paras dada.
“Anggota kami menggunakan peralatan ‘paratech’ dan ‘rambar’ untuk memecahkan lubang tandas sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya.
Mangsa yang mengalami luka ringan di beberapa anggota badan, dibawa ke Hospital Melaka menggunakan khidmat Ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Katil. -HM Online-